Indeks Harga Pengguna rendah mungkin tidak kekal jika harga minyak global terus naik — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Harga Pengguna rendah mungkin tidak kekal jika harga minyak global terus naik — TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 MacIndeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang sederhana ketika ini berpotensi berdepan tekanan kenaikan semula sekiranya harga minyak global terus meningkat, kata TA Securities.


Tambah firma penyelidikan berkenaan, situasi semasa tersebut sekali gus mencetuskan risiko semakan semula pelaksanaan subsidi ke atas bahan api terutamanya petrol RON95 dalam tempoh yang terdekat.


Jelasnya, walaupun IHP menunjukkan trend terkawal, faktor luaran khususnya harga minyak mentah Brent yang kekal tinggi berisiko memberi kesan limpahan besar kepada kos pengeluaran dan kadar inflasi.


"Pada Februari 2026, inflasi utama naik 1.4% tahun ke tahun (YoY), lebih rendah daripada jangkaan pasaran 1.6% tetapi meningkat 0.2% bulan ke bulan (MoM), sekali gus mencerminkan tekanan sederhana," katanya.


Secara keseluruhan menurut TA Securities, inflasi adalah kekal terkawal tanpa tanda tekanan kos yang meluas, dengan kadar semasa masih dinilai di bawah purata jangka panjang sebanyak 2.1% sejak 2008.


Bagaimanapun tambahnya, kadar inflasi teras pula didapati meningkat sebanyak 2.0% YoY, menunjukkan tekanan harga asas masih wujud walaupun inflasi pada keseluruhan dilihat semakin menyederhana.


Dari segi komponen pula jelasnya, kebanyakan kategori mencatatkan pertumbuhan perlahan kecuali minuman beralkohol dan tembakau serta penjagaan diri dan barangan lain, tetapi disifatkan kecil.

 

indeks harga pengguna_DagangNews


"Harga makanan dan minuman, yang meliputi hampir 30% daripada IHP, naik perlahan kepada 1.3%, manakala segmen pengangkutan susut 0.7% dipengaruhi rasionalisasi subsidi bahan api," kata TA Securities.


Kadar inflasi ujarnya, namun kekal rendah berbanding beberapa negara serantau seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina, sekali gus mencerminkan persekitaran harga domestik yang lebih stabil.


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut memberi amaran mengenai risiko kenaikan inflasi masih lagi wujud, khususnya jika harga minyak mentah Brent kekal melebihi paras AS$100 (RM396) setong.


TA Securities berkata, setiap kenaikan AS$10 dalam harga minyak mentah berpotensi meningkatkan inflasi sekitar 0.03 mata peratusan, bergantung kepada mekanisme subsidi dan keadaan permintaan.


"Selain itu, peningkatan kos subsidi boleh mendorong kerajaan untuk menilai semula program subsidi RON95 di bawah skim BUDI MADANI, termasuk kemungkinan pelarasan had harga semasa," jelasnya lagi.


Bagi keseluruhan tahun 2026 pula, firma berkenaan mengekalkan unjuran inflasi sekitar julat antara 1.5% hingga 2.0%, dengan tekanan harga dijangka adalah kekal terkawal dalam persekitaran semasa.


Ketegangan geopolitik global dan pergerakan harga minyak namun akan menjadi faktor utama perlu dipantau, kerana kesan limpahan kepada rantaian stok boleh mencetuskan tekanan inflasi sekunder.


Pasaran kata TA Securities, turut menantikan laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan pada 31 Mac 2026 bagi mendapatkan petunjuk lanjut mengenai hala tuju inflasi. - DagangNews.com