Inari Amertron fokus kepada pembangunan produk baharu, pelbagaikan pelanggan pada masa hadapan - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inari Amertron fokus kepada pembangunan produk baharu, pelbagaikan pelanggan pada masa hadapan - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Inari Amertron Bhd dipercayai akan memberi tumpuan kepada pembangunan produk baharu sebagai sebahagian usaha mempelbagaikan pelanggannya pada masa hadapan.

 

TA Securities berkata, projek itu akan kekal memberi tumpuan kepada produk memori, LED berkuasa tinggi, pakej AI Edge dan produk optik/penderia.

 

"Pengurusan menekankan, Edge AI akan menjadi enjin pertumbuhan baharu dan kumpulan itu sedang membina keupayaannya dalam ruang ini.

 

"Sementara itu, kumpulan juga sedang giat mencari rakan kongsi baharu bagi membangunkan keupayaan pembungkusan termaju bagi meningkatkan rantaian nilai," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM89.97 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM86.81 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Bagaimanapun, hasil turun 15.7% kepada RM348.97 juta daripada RM414.1 juta sebelumnya dan penyusutan itu disebabkan pemuatan volum produk yang agak rendah pada suku semasa.

 

Melangkah ke hadapan, TA Securities berkata, pihak pengurusan percaya bahawa segmen frekuensi radio (RF) kekal utuh, disokong pertumbuhan kandungan yang lebih tinggi.

 

Selain itu, katanya, pihak pengurusan berharap pelancaran telefon pintar berharga rendah akan membantu meningkatkan pemuatan dan berpotensi mencapai kadar penggunaan 70% dalam 2HFY25.

 

"Dari segi pecahan jualan, 1HFY25 kekal diterajui oleh RF pada 66%. Ini diikuti oleh optoelektronik pada 28% dan generik pada 6%," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3.10 sesaham.- DagangNews.com