KUALA LUMPUR 21 Feb - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangkakan Inari Amertron Bhd mencatat pertumbuhan satu angka pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25)
Firma penyelidikan itu juga menurunkan unjuran hasil tahun kewangan 2025 (FY25) Inari sebanyak 26% akibat prestasi kewangan kumpulan yang lemah.
Walaupun untung bersih Inari mencatat peningkatan 3.6% tahun ke tahun (YoY) bagi tiga bulan berakhir 31 Dis 2024 (2QFY25), pendapatan jatuh jauh di bawah jangkaan, mewakili 42% di bawah anggaran konsensus.
Sementara itu, hasilnya menguncup 15.7% kepada RM348.97 juta daripada RM414.08 juta pada 2QFY2024, disumbangkan oleh pemuatan volum yang lebih rendah.
Oleh itu, Maybank IB mengekalkan saranan "pegang" dengan menurunkan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.65 daripada RM2.93.
Dalam nota penyelidikan berasingan, Apex Securities, menjangkakan Inari menghadapi cabaran berterusan.
“Pemuatan volum segmen optoelektronik berkemungkinan kekal rendah sehingga kapasiti 800G baharu mula beroperasi di Filipina pada Jun 2025,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Apex Securities mengurangkan unjuran keuntungan bersih FY2025 Inari sebanyak 25% kepada RM290.9 juta, dengan mengambil kira pemuatan volum optoelektronik yang lebih lemah.
Selain itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB), berkata prospek Inari bagi FY26 sangat tidak menentu.
“Walaupun pertumbuhan Inari secara amnya sjajar ramalan industri didorong oleh peningkatan permintaan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat, terutamanya ancaman berulang tarif Amerika Syarikat baru-baru ini bakal memberikan kesan negatif kepada Inari,”
HLIB mengurangkan unjuran pendapatan Inari sebanyak 12.4% untuk FY25, 12.1% bagi FY26 dan sebanyak 11.9% pada FY27. - DagangNews.com








