Ikhlas Capital dari Singapura labur RM74 juta dalam PMG Healthcare bagi perluas perkhidmatan kesihatan di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ikhlas Capital dari Singapura labur RM74 juta dalam PMG Healthcare bagi perluas perkhidmatan kesihatan di Malaysia

Dari kiri, Pengarah Eksekutif Kumpulan PMG Healthcare, Andrew Wong; Pengerusi Eksekutif Kumpulan PMG Healthcare, Dr. Chieng King Chong; Timbalan Premier dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian; Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Nazir Razak; dan Pengarah Urusan, Ikhlas Capital, Tay Ek Ming.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Feb - Firma ekuiti swasta dari Singapura, Ikhlas Capital, melabur sebanyak RM74 juta dalam PMG Healthcare Sdn Bhd, untuk memperkukuh operasi penyedia penjagaan kesihatan itu serta memperluas perkhidmatan primer yang berkualiti tinggi kepada komuniti terpencil di Malaysia.


 
Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Nazir Razak berkata, PMG Healthcare adalah sebuah syarikat yang mempunyai rekod prestasi yang baik, kepimpinan yang kukuh, budaya yang mantap dan keupayaan yang terbukti dalam bidang penggabungan dan pengambilalihan.

 

"Ia beroperasi dalam industri yang berkembang pesat dan amat penting bagi masyarakat, terutamanya golongan yang kurang bernasib baik," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

Beliau hadir ke majlis menandatangani perjanjian antara dua syarikat itu di Sheraton Hotel Kuching, Sarawak.

 

Acara berkenaan turut dihadiri oleh Pengasas PMG Healthcare, Dr Chieng King Chong dan Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian.

 

PMG Healthcare ditubuhkan pada 2012 dan kini mengendalikan 152 farmasi, sebanyak 28 klinik perubatan, serta lapan klinik pergigian di seluruh negara.

 

Sebahagian besar operasi PMG Healthcare kini terletak di Sarawak dan Sabah, menjadikannya penyedia penjagaan kesihatan terbesar di kedua-dua negeri tersebut. 

 

Di Semenanjung Malaysia, ia mempunyai 69 farmasi dan satu klinik perubatan.

 

Pada September 2024, PMG Healthcare membeli AM PM Pharmacy yang berpusat di Johor, menambah 46 cawangan kepada rangkaian farmasi mereka.

 

King Chong berkata, PMG Healthcare merancang untuk terus berkembang dengan membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara.

 

"Kami menyasarkan untuk membuka antara 30 hingga 50 cawangan setiap tahun.

 

"Peranan Ikhlas Capital sebagai pelabur strategik adalah sangat penting untuk perkembangan ini," ujarnya.

 

Malah jelas beliau, Ikhlas Capital bukan hanya memberi dana, tetapi juga kepakaran dan rangkaian yang berguna bagi membantu PMG Healthcare berkembang dengan lebih cepat.

 

Menurutnya, kerjasama berkenaan akan membantu PMG Healthcare berkembang dan menjadi pemain utama dalam industri kesihatan di rantau ASEAN.

 

Ikhlas Capital diasaskan oleh Tan Sri Nazir; bekas pegawai kewangan CIMB, Kenny Kim; bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Gita Irawan Wirjawan dan bekas Setiausaha Kewangan Filipina, Cesar Purisima.

 

Kui Hian dalam pada itu berkata, kerjasama tersebut sangat penting untuk meningkatkan penjagaan kesihatan di Sarawak.

 

"Dengan bantuan PMG Healthcare dan Ikhlas Capital, kami berharap dapat menyediakan lebih banyak kemudahan kesihatan kepada masyarakat di Sarawak," jelasnya. - DagangNews.com