IKEA Kuching mula beroperasi pada Disember 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IKEA Kuching mula beroperasi pada Disember 2026

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 – IKEA Malaysia memperluas jejak perniagaannya ke Sarawak dengan pembukaan gedung pertamanya di Kuching pada Disember 2026 yang akan membawa pengalaman membeli belah kelengkapan rumah IKEA secara fizikal dengan lebih mudah kepada pelanggan di negeri itu.

 

Sebelum ini, pelanggan di Sarawak hanya mendapatkan produk IKEA melalui platform dalam talian dan perkhidmatan penghantaran pesanan, namun keadaan itu bakal berubah dengan kehadiran gedung fizikal di Kuching.

 

Gedung baharu itu juga menjadi gedung berformat kecil pertama IKEA Malaysia, berbeza daripada empat gedung berskala besar yang kini beroperasi di Damansara, Cheras, Tebrau dan Batu Kawan.

 

 

 

 

 

Menurut Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, pembukaan itu dibuat selepas pihaknya mengambil kira maklum balas pelanggan di Sarawak yang mahukan pengalaman IKEA lebih mudah diakses.

 

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan hasrat IKEA untuk membantu mewujudkan kehidupan harian yang lebih baik kepada seramai mungkin pelanggan, selain menjadikan pengalaman mendapatkan produk dan penyelesaian kelengkapan rumah lebih mudah untuk masyarakat setempat.

 

Skala Lebih Kecil

Berbeza dengan gedung IKEA berskala besar, gedung di Kuching itu direka dalam format yang lebih kecil bagi membolehkan pelanggan meneroka pengalaman IKEA dalam ruang yang lebih ringkas dan mudah dilawati.

 

Pelanggan masih boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan inspirasi untuk kediaman, meneroka pelbagai pilihan kelengkapan rumah serta membeli produk terpilih untuk dibawa pulang pada hari yang sama.

 

Mereka juga boleh mendapatkan produk daripada rangkaian IKEA yang lebih luas, sekali gus memberi lebih banyak pilihan mengikut keperluan dan keadaan kediaman masing-masing.

 

Konsep itu direka bagi membantu pelanggan mencari peralatan yang sesuai sama ada untuk melakukan penambahbaikan kecil di rumah, merancang sesuatu ruang atau melengkapkan keseluruhan kediaman.

 

Pendekatan berkenaan membolehkan IKEA menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat dengan pelanggan di Sarawak tanpa mereka perlu bergantung sepenuhnya kepada pembelian secara dalam talian.

 

Memahami Kehidupan Masyarakat Kuching

Menjelang pembukaan gedung berkenaan, IKEA turut menjalankan kajian terhadap cara hidup masyarakat di Kuching dengan mengunjungi beberapa kediaman bagi memahami keperluan, cabaran dan aspirasi mereka dalam kehidupan seharian.

 

Kajian itu mendapati kehidupan di rumah masyarakat Kuching banyak dipengaruhi nilai kekeluargaan, kebersamaan serta semangat meraikan tetamu.

 

Ruang tamu dan ruang makan lazimnya digunakan untuk pelbagai aktiviti, daripada meluangkan masa bersama keluarga sehingga menerima kunjungan keluarga besar dan rakan-rakan.

 

Dalam masa sama, pengurusan serta penyimpanan barangan kekal menjadi antara cabaran biasa bagi kediaman bertanah mahupun bertingkat.

 

Malcolm berkata, pihaknya mahu pelanggan melihat keperluan dan kehidupan seharian mereka sendiri dalam setiap inspirasi serta penyelesaian kelengkapan rumah yang ditawarkan di IKEA Kuching.

 

Lebih Dekat Dengan Pelanggan Sarawak

Menurutnya, IKEA mahu menawarkan penyelesaian yang praktikal dan mudah dilaksanakan, termasuk menyediakan ruang untuk keluarga berkumpul, mencari cara lebih baik untuk menyusun barangan harian serta memaksimumkan fungsi sesuatu ruang.

 

Pembukaan itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan IKEA Malaysia untuk menjadikan kelengkapan rumah yang direka dengan baik dan berfungsi mudah diakses oleh lebih ramai orang.

 

 

 

 

 

Menjelang pembukaan, IKEA Malaysia akan mula bekerjasama dengan komuniti setempat bagi membentuk pasukan rakan sekerja di Kuching, dengan tumpuan diberikan kepada peluang kepada bakat tempatan untuk berkembang bersama syarikat.

 

Langkah itu juga bertujuan membantu membawa pengalaman IKEA lebih dekat kepada masyarakat Sarawak, selain membina kehadiran syarikat yang lebih kukuh di negeri berkenaan. - DagangNews.com