KUALA LUMPUR 25 Mac - IJM Corporation Bhd mencatatkan pencapaian baharu apabila memperkenalkan dua robot keselamatan pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) yang mampu meningkatkan pemantauan dan kecekapan.
Digelar Co-Lab dan Halo, kedua-dua robot itu masing-masing berperanan mengawal keselamatan di dalam dan luar bangunan.
Ia dihasilkan oleh Kabam Robotics dari Singapura dan diedarkan di Malaysia oleh penyedia rumusan keselamatan, Securight Sdn Bhd.

Menara Prudential yang terletak di kawasan kewangan Tun Razak Exchange (TRX) adalah hartanah komersial pertama di Malaysia yang menggunakan robot keselamatan berkenaan.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan IJM, Datuk Edward Chong Sin Kiat berkata, inisiatif itu mencerminkan visi syarikat untuk menyepadukan AI dalam operasi keselamatan, meningkatkan pemantauan, kecekapan dan keselamatan.
"Ini adalah robot keselamatan pertama yang menggunakan AI di negara ini dan kami berharap lebih banyak robot akan dihasilkan," katanya pada majlis pelancaran Co-Lab dan Halo di Menara Prudential, di TRX, semalam seperti laporan Bernama.

Co-Lab dilengkapi dengan kamera definisi tinggi, sensor canggih dan analitik berasaskan AI, menyediakan pemantauan sepanjang masa dengan liputan yang lebih luas dan mengurangkan kawasan buta.
Ia mempunyai jangka hayat bateri selama tujuh jam setiap pengecasan, boleh berfungsi dengan sistem lif serta boleh bergerak secara autonomi merentasi beberapa tingkat.
Sementara itu, Halo boleh melalui permukaan yang tidak rata serta mampu beroperasi walaupun dalam hujan, angin dan suhu tinggi.
Sin Kiat berkata, berbeza dengan kamera CCTV tradisional yang mempunyai sudut tetap, robot berkuasa AI menawarkan pemantauan pada paras mata, memberikan kawasan pandangan yang lebih tepat yang meningkatkan pengesanan risiko.

"Robot ini boleh mengenal pasti individu yang tidak dibenarkan selepas waktu pejabat, mengesan individu merokok di lokasi tidak sesuai dan memantau eskalator yang rosak.
"Apabila anomali dikesan, sistem segera memberi amaran kepada pegawai keselamatan untuk tindak balas pantas," jelasnya.
Tambah beliau, pada masa ini, syarikat sedang menguji robot tersebut untuk pemantauan dalam bangunan, dengan rancangan untuk memperluaskan penggunaannya ke persekitaran luar. - DagangNews.com








