IJM labur RM460 juta, bina hab logistik di Sungai Buloh bagi sokong rantaian bekalan Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM labur RM460 juta, bina hab logistik di Sungai Buloh bagi sokong rantaian bekalan Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Feb - IJM Corp Bhd, melalui syarikat usaha sama (JV) Exio Logistics Sdn Bhd, melabur RM460 juta dalam hab logistik baharu di Sungai Buloh bagi menyokong rantaian bekalan dan e-dagang Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, perniagaan itu bakal memberi pendapatan berulang kepada kumpulan sebaik sahaja operasi tersebut bermula pada suku pertama 2027.

 

“Pendapatan berulang itu akan membantu IJM Corp mengimbangi sifat kitaran perniagaan utamanya dalam pembinaan dan pembangunan hartanah.

 

“Tidak kira persekitaran ekonomi atau kedudukan fiskal kerajaan, perniagaan ini akan terus beroperasi.

 

"Matlamat kami adalah untuk menjana sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pendapatan kami daripada sumber berulang," katanya semasa majlis pecah tanah hab logistik Exio di Bandar Elmina, lapor The Edge.

 

Exio Logistics ialah JV dituuhkan antara anak syarikat milik penuh IJM, IJM RE Sdn Bhd dan FMM Elmina Sdn Bhd.

 

Menjangkau 8.9 hektar, hab itu akan dipajak sepenuhnya kepada Storio Sdn Bhd, yang akan mengendalikan kemudahan itu sebagai penyewa induknya.

 

Kemudahan itu, yang terdiri daripada dua hab logistik dengan gabungan ruang lantai seluas 500,000 kaki persegi, menampilkan sistem penyimpanan dan pengambilan automatik termaju yang boleh mengendalikan 117,000 kedudukan palet, dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 240 palet sejam.

 

Lee berkata, IJM merancang untuk mengembangkan lagi dalam sektor logistik, tetapi dengan model yang pelbagai bagi mengelak persaingan dalaman.

 

Selain Exio Logistics, IJM juga telah melabur dalam Global Vision Logistics Sdn Bhd, membangunkan Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam seluas enam juta kaki persegi.

 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, yang merasmikan acara itu, menekankan kemudahan seperti hab Exio akan memainkan peranan penting dalam memperkemaskan aliran perdagangan dan mengurangkan kesesakan rantaian bekalan.

 

Hab logistik ini menawarkan sambungan ke Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan rangkaian pengangkutan utama.

 

Beliau berkata, hab Exio akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pintu masuk logistik di rantau ini, sambil menyokong perkembangan laluan perdagangan dengan rakan kongsi ASEAN.

 

“Berikutan pengumuman Zon Ekonomi Khas (SEZ) Malaysia-Singapura Johor baru-baru ini, kami melihat peluang logistik dan pelaburan rentas sempadan semakin meningkat," katanya  - DagangNews.com