IJM fokus laksana strategi tingkatkan nilai portfolio merentasi perniagaan teras kumpulan - CEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM fokus laksana strategi tingkatkan nilai portfolio merentasi perniagaan teras kumpulan - CEO

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 April - Selepas berakhir tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd., IJM Corporation Bhd kini mahu memfokuskan untuk melaksanakan strategi pertumbuhan dan memperkukuh penciptaan nilai portfolio kumpulan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai.

 

Beliau berkata, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi dipertingkatkan bagi memaksimumkan nilai portfolio merentasi perniagaan teras.

 

“Dengan berakhirnya tawaran ini, IJM akan terus melangkah ke hadapan dengan tekad untuk melaksanakan strategi dipertingkatkan bagi merealisasikan nilai portfolio merentasi perniagaan teras kumpulan.

 

“Keutamaan kami kini kekal tertumpu kepada pelaksanaan dan membuka nilai daripada portfolio yang telah kami bina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sunway gagal dalam cubaannya untuk mengambilalih IJM selepas selepas tidak memenuhi syarat utama untuk memperoleh pegangan melebihi 50% dalam syarikat itu.

 

Sehingga jam 5 petang, 6 April 2026 iaitu tarikh penutupan tawaran, Sunway hanya berjaya memperoleh penerimaan sebanyak 33.43%, jauh daripada paras minimum yang ditetapkan.

 

Chun Fai berkata, IJM kekal sebagai syarikat yang mempunyai asas kukuh dengan strategi jelas serta saluran projek yang berdaya tahan.

 

“Pemegang saham telah membuat keputusan dan kami menghormati keyakinan mereka terhadap nilai intrinsik jangka panjang IJM,” katanya.

 

Dalam pada itu, IJM turut merakamkan penghargaan kepada pemegang saham atas penglibatan berterusan serta penilaian teliti terhadap tawaran tersebut, selain mengakui minat tinggi komuniti pelaburan sepanjang proses berkenaan.

 

Melangkah ke hadapan syarikat optimis untuk terus melaksanakan keutamaan strategik merangkumi buku tempahan pembinaan, saluran pembangunan hartanah, portfolio konsesi infrastruktur serta pengembangan operasi antarabangsa.

 

Disokong oleh buku tempahan rekod sebanyak RM17.3 bilion, IJM berada pada kedudukan kukuh untuk menjana pendapatan berterusan daripada aset yang melalui fasa pembangunan dan operasi.

 

Selain itu, trajektori pertumbuhan kumpulan dijangka terus dipacu oleh pelaburan hartanah strategik serta pengembangan portfolio antarabangsa yang semakin meluas.

 

Sementara itu susulan kegagalan pengambilalihan itu semua saham yang ditawarkan di bawah tawaran tersebut akan dipulangkan kepada pemegang saham masing-masing mengikut terma yang ditetapkan.

 

Lembaga Pengarah IJM sebelum ini, berdasarkan penilaian Penasihat Bebas, telah membuat kesimpulan bahawa tawaran tersebut adalah tidak adil dan tidak munasabah serta mengesyorkan pemegang saham untuk menolaknya. - DagangNews.com