IGB REIT beli Mid Valley Southkey di Johor Bahru berharga RM2.65 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IGB REIT beli Mid Valley Southkey di Johor Bahru berharga RM2.65 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - IGB REIT menerusi MTrustee Berhad memeterai perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan Southkey Megamall Sdn Bhd bagi mengambil alih The Mall, Mid Valley Southkey (MVS Mall) yang terletak di Johor Bahru dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM2.65 bilion. 

 

MVS Mall merangkumi lima aras pusat beli-belah dengan satu aras mezanin, bersama lapan aras tempat letak kereta bertingkat (dengan Aras CP1 hingga Aras CP5 dikongsi bersama aras runcit) dan dua aras tempat letak kereta bawah tanah, yang semuanya terletak dalam satu pembangunan bercampur komersial bersepadu yang dikenali sebagai Mid Valley Southkey.

 

"MVS Mall dijangka menjadi tambahan yang signifikan kepada portfolio IGB REIT, dengan menyediakan pendapatan berulang yang stabil serta potensi pertumbuhan yang kukuh.

 

 

 

 

 

"Ia disokong lokasinya yang strategik dalam pembangunan bersepadu Mid Valley Southkey di Johor Bahru, yang merupakan salah satu zon ekonomi utama.

 

"MVS Mall juga menampilkan campuran penyewa yang kukuh, termasuk penyewa utama seperti SOGO, Village Grocer, Golden Screen Cinemas, Aurum Theatre dan Dewan Pameran MVEC," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pengambilalihan itu sejajar dengan objektif IGB REIT untuk menyediakan pemegang unitnya dengan agihan pendapatan yang konsisten dan stabil, di samping memacu pertumbuhan jangka panjang dalam nilai aset bersih (NAV) dan pendapatan boleh agih seunit (DPU).

 

Ia juga dijangka memberi pulangan positif, dengan hasil pendapatan hartanah bersih (NPI) kira-kira 7.2% berdasarkan NPI MVS Mall bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan RM1 bilion secara tunai dan penerbitan serta peruntukan unit baharu dalam IGB REIT bernilai RM1.65 bilion. - DagangNews.com