KUALA LUMPUR 31 Jan - Hoverkraf akan menjadi aset baharu Tentera Darat apabila kontrak untuk membekalkan kenderaan tersebut telah diumumkan.
Syarikat tempatan, IDC Technologies Sdn. Bhd. (IDC Technologies) telah dipilih setelah berjaya memenangi tender berkenaan bernilai RM20.37 juta.
Laman web pertahanan, Malaysia Defence memaklumkan, kontrak itu telah diumumkan pihak Kementerian Kewangan dalam laman e-perolehan bertarikh 29 Januari lalu.
Kontrak itu bagi membekal, menghantar, menguji dan mentauliah 6 buah hoverkraf untuk Tentera Darat selama 3 tahun.


Bagaimana pun, jenis hoverkraf tidak dinyatakan.
Berdasarkan laporan Malaysia Defence juga, hoverkraf kecil jenis Kaiman Crocodile buatan Australia dijangka menjadi pilihan.
Mengikut spesifikasi, Kaiman Crocodile direka bentuk untuk memenuhi peranan sebagai hoverkraf praktikal, berkebolehan sepenuhnya dalam tugas mencari dan menyelamat (SAR) dan operasi ketenteraan.
Dengan bentuk saiznya, hoverkraf ini mudah diangkut, mudah dikendalikan, tahan lasak serta boleh membawa sehingga 8 orang termasuk pengendali.

Kaiman Crocodile boleh diangkut dengan treler untuk melalui jalan raya bersaiz lebar 2.5 meter.
Semasa DSA 2024 lalu, IDC Technologies antara syarikat tempatan yang menyertai pameran tersebut dengan mempamerkan beberapa produk pertahanan.
Antaranya termasuklah sistem jambatan taktikal medan, sistem radar pengesan tembakan artileri dan pelbagai kelengkapan kejuruteraan.
Pada Julai lalu, kontrak untuk membekalkan hoverkraf telah dibuka oleh Kementerian Pertahanan kepada mana-mana syarikat tempatan yang berkelayakan.



Tawaran tersebut tidak menyatakan nilai kontrak selain ia adalah pembelian kerajaan atau secara disewa.
Hovercraft atau dikenali juga sebagai kenderaan kusyen udara (ACV) adalah kenderaan air yang menggunakan kuasa udara untuk bergerak merentasi air.
Tentera Darat tidak pernah memiliki aset ini, sehubungan itu rancangan mendapatkan hoverkraf dilihat satu perkembangan baharu.
Dengan persekitaran operasi yang melibatkan kawasan perairan, pulau-pulau dan tasik maka keputusan untuk menambah hoverkraf sebagai aset ketenteraan adalah praktikal.
Tambahan pula dengan beberapa kejadian banjir besar yang melanda negara, maka aset seperti hoverkraf sangat diperlukan untuk membantu semasa bencana. - DagangNews.com








