KUALA LUMPUR 30 Dis - Iconic Worldwide Bhd, melalui anak syarikatnya Iconic Penang Sdn Bhd, melancarkan Hotel Iconic Marjorie, sebuah hotel yang tergolong dalam Tribute Portfolio, yang terletak di Bayan Lepas, menyertai rangkaian jenama Marriott International.
Hotel Iconic Marjorie bertaraf lima bintang yang mempunyai 298 bilik itu, menandakan pencapaian penting bagi Kumpulan Iconic, yang menggambarkan komitmen mereka untuk mengangkat status Pulau Pinang sebagai destinasi bertaraf dunia untuk pelancongan dan pelaburan.
Dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM180 juta, ia merupakan projek hotel kedua bagi kumpulan tersebut selepas kejayaan pelancaran Hotel Iconic di Seberang Perai pada 2016.
Pengarah Urusan Iconic Worldwide, James Tan berkata, hotel mewah itu dijangka menarik pelancong bertaraf tinggi, memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan sektor pelancongan Pulau Pinang dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.
"Ini sekali gus mengukuhkan lagi reputasi Pulau Pinang di pentas global," katanya pada majlis perasmian hotel tersebut semalam, seperti laporan The Star.
Turut hadir pada acara itu ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai.
Sementara itu, Pengerusi Iconic Worldwide Berhad, Dato' Seri Tan Kean Tet menekankan kepentingan projek tersebut yang bukan sekadar destinasi mewah, tetapi juga bukti komitmen syarikat dalam memberikan kecemerlangan dalam hartanah dan hospitaliti.
"Kami bangga dapat menyumbang kepada pertumbuhan dinamik negeri yang luar biasa ini dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas sokongan yang tidak berbelah bagi," ujarnya. - DagangNews.com








