KUALA LUMPUR 25 Ogos - icapital.biz Bhd, satu-satunya dana tertutup yang tersenarai di Malaysia, mengisytiharkan dividen interim sebanyak 13.54 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY26).
Ia selaras dengan polisi dividen inovatif ICAP yang bertujuan memberi ganjaran kepada pelabur jangka panjang.
Berdasarkan harga penutupan ICAP sebanyak RM2.60 pada 22 Ogos 2025, pembayaran itu memberikan hasil dividen sebanyak 5.21%.
Tarikh ex-dividen bagi dividen interim ini adalah pada 30 September 2025, manakala tarikh kelayakan adalah 1 Oktober 2025. Dividen akan dibayar pada 30 Oktober 2025.
Ini merupakan kali kedua ICAP mengisytiharkan dividen di bawah polisi dividen inovatif syarikat. ICAP sebelum ini telah mengisytiharkan dividen interim sulung sebanyak 10.41 sen sesaham bagi FY25 pada 27 September 2024.
Setakat 20 Ogos 2025, nilai aset bersih (NAV) sesaham ICAP adalah sebanyak RM3.84, mewakili premium sebanyak 32.3% berbanding harga sahamnya yang berjumlah RM2.60.
Wakil ICAP, Tan Teng Boo berkata, dividen kedua itu mencerminkan komitmen mereka untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham sambil kekal setia kepada falsafah pelaburan nilai jangka panjang ICAP.
"Prestasi kukuh portfolio kami membolehkan kumpulan menjana pulangan berterusan dan kekal yakin dengan keupayaan untuk mencipta nilai bagi pemegang saham ketika mengharungi peluang dan cabaran yang mendatang," katanya.
Bagi tempoh 15 Ogos 2022 hingga 15 Ogos 2025, harga saham dan NAV ICAP masing-masing mencatatkan pulangan tahunan sebanyak 11.10% dan 8.34%, jauh mengatasi Indeks MSCI Malaysia yang hanya meningkat 1.2% setahun bagi tempoh sama.
Secara kumulatif, harga saham dan NAV ICAP mencatat pulangan masing-masing sebanyak 37.17% dan 27.18%, berbanding kenaikan 3.63% bagi Indeks MSCI Malaysia dalam tempoh yang sama.
ICAP pertama kali memperkenalkan polisi dividen inovatifnya pada 29 September 2023.
Formula polisi ini adalah seperti berikut: Kadar Asas sebanyak 1% daripada NAV sesaham ICAP, ditambah 8% daripada perbezaan antara harga saham ICAP dan NAV. Tambahan 8% ini dikenali sebagai kadar tambahan.- DagangNews.com








