I-Berhad labur RM10 juta pacu inisiatif infrastruktur pintar di i-City | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

I-Berhad labur RM10 juta pacu inisiatif infrastruktur pintar di i-City

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 26 Jun – I-Berhad melabur RM10 juta untuk membangunkan projek infrastruktur pintar di i-City, sejajar peralihan strategik kumpulan ke arah bandar berasaskan teknologi.

 

Pengumuman itu dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan 2025 I-Berhad, yang turut menyaksikan perluasan i-City SuperApp iaitu aplikasi digital yang menggabungkan gaya hidup, kemudahan, dan perkhidmatan perniagaan dalam satu platform.

 

Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, langkah itu sejajar visi i-City sebagai bandar digital pertama negara dan membuka laluan kepada evolusi ke arah ekosistem bandar pintar yang lebih dinamik. 

 

"Sejak 20 tahun lalu, i-City dibangunkan sebagai bandar digital pertama dengan infrastruktur pintar dan jalur lebar terus ke rumah. 

 

"Kami juga bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dengan menjadikan i-City sebagai ekosistem bandar pintar yang canggih dan bersepadu," katanya dalam satu kenyataan.

 

SuperApp dijangka menjadi penguat kepada ekosistem digital menyeluruh yang merangkumi operasi bangunan, perkhidmatan penyewa, dan penglibatan komuniti.

 

Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik akan diterapkan di seluruh i-City bagi menyokong automasi, penyelenggaraan ramalan serta usaha penjimatan kos.

 

Syarikat menjangkakan inisiatif digital itu mampu dibiayai secara kendiri menerusi hasil perkhidmatan SuperApp, peningkatan peluang penyewaan, dan penjimatan kos operasi.

 

Strategi itu merangkumi pembangunan hartanah, pelaburan, serta sektor riadah dan hospitaliti, yang kekal menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan sepanjang 2024.- DagangNews.com