Hutang Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.304 trilion setakat Jun 2025 - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hutang Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.304 trilion setakat Jun 2025 - MOF

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Nov - Hutang Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.304 trilion setakat Jun 2025, berbanding RM1.248 trilion pada akhir 2024, didorong oleh keperluan membiayai defisit fiskal dan perbelanjaan pembangunan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

Liabiliti Kerajaan Persekutuan turut meningkat kepada RM390.4 bilion daripada RM384.8 bilion, merangkumi jaminan kewangan berjumlah RM237.1 bilion serta liabiliti lain sebanyak RM153.3 bilion.

 

Walaupun berdepan kenaikan jumlah hutang, kerajaan mencatat kemajuan konsisten dalam penyatuan fiskal dengan defisit menurun daripada 6.4% daripada KDNK pada 2021 kepada 5.5% (2022), 5.0% (2023), 4.1% (2024) dan diunjurkan 3.8% pada 2025.

 

“Belanjawan 2026 menyasarkan pengurangan selanjutnya kepada 3.5%, selaras dengan aspirasi kerajaan mencapai defisit 3% serta mengekalkan nisbah hutang kepada KDNK di bawah 60% seperti ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850),” kata MOF dalam jawapan bertulis di Parlimen.

 

Kementerian menegaskan, pinjaman kerajaan digunakan secara berhemah untuk membiayai projek pembangunan strategik dalam infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial — dengan matlamat merancakkan pertumbuhan jangka panjang serta meningkatkan kesejahteraan isi rumah B40 dan M40.

 

Bagi mengurus hutang serta liabiliti, langkah berterusan meliputi penyatuan fiskal secara berperingkat bagi mengawal pinjaman baharu, peluasan asas hasil melalui SST dan e-invois, serta pengoptimuman perbelanjaan awam melalui subsidi bersasar dan rasionalisasi bahan api.

 

Setakat Jun 2025, jumlah jaminan kerajaan berada pada RM424.7 bilion, bersamaan 21.1% daripada KDNK, kekal di bawah had 25% seperti ditetapkan Akta 850. - DagangNews.com