KUALA LUMPUR 15 April — HSS Holdings Berhad mengambil satu lagi langkah penting ke arah usaha penyenaraian syarikat apabila memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd.
Kumpulan yang terlibat dalam penyumberan, perdagangan serta pembuatan produk bakeri itu berkata, pemeteraian ini sebagai persediaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Syarikat berpangkalan di Muar, Johor dan ditubuhkan sejak 2004 itu, merancang menerbitkan 75 juta saham baharu selain menawarkan 52.5 juta saham sedia ada di bawah pelaksanaan IPO tersebut.
"Selaras dengan perjanjian taja jamin, M&A Securities akan menaja jamin 35.0 juta saham IPO, yang terdiri daripada saham yang disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia dan individu yang layak.
"Baki sebanyak 92.5 juta saham IPO lagi akan diletakkan kepada pelabur Bumiputera dan terpilih melalui penempatan persendirian," kata HSS dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat itu membina rangkaian pengedaran yang kukuh merangkumi 332 pemborong, lima pengedar dan 112 peruncit, dengan lebih 6,000 unit stok simpanan (SKU) di bawah jenama tertentu seperti SINAR.
Pengarah Urusan HSS, Goh Chen Chang berkata, perjanjian itu mencerminkan keyakinan terhadap prospek syarikat dan menjadi pemangkin bagi memperkukuh keupayaan pembuatan dan kecekapan operasi.
“IPO ini diharapkan dapat menyokong pelan pengembangan kapasiti serta pembangunan berterusan portfolio produk dan jenama kami dalam mengharungi fasa pertumbuhan seterusnya,” kata beliau.
Hasil terbitan itu akan digunakan bagi perbelanjaan modal termasuk pemasangan barisan pengeluaran baharu, automasi proses pembuatan, pembayaran balik pinjaman serta keperluan modal kerja.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif M&A Securities, Bill Tan berkata, HSS berada pada kedudukan strategik mengembangkan pegangan pasaran berikutan asas operasi dan rangkaian pengedaran luas.
Langkah ini dilihat mampu meningkatkan kecekapan operasi, memperluas kapasiti pengeluaran dan memperkukuh kedudukan HSS dalam pasaran produk bakeri tempatan. - DagangNews.com








