KUALA LUMPUR 25 Jun – HSS Engineers Bhd melalui anak syarikat bersekutunya, HSS Integrated Sdn Bhd bersama rakan kongsi strategik Oriental Consultants Global Co Ltd dari Jepun dilantik sebagai perunding utama bagi Pakej Kontrak No.9 Projek Pemodenan Pengangkutan Awam Davao di Filipina.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, nilai kontrak dianggarkan berjumlah RM19.27 juta yang meliputi yuran profesional dan kos boleh dituntut.
Gabungan itu dijangka menyediakan perkhidmatan perunding utama yang meliputi pengurusan projek dan kontrak, kawalan risiko dan kualiti, pengurusan komunikasi dan penyelarasan, aspek alam sekitar dan sosial, penilaian faedah ekonomi, bantuan proses tender serta pematuhan terhadap antirasuah.
Selain itu, mereka juga akan menyelia kerja awam termasuk semakan reka bentuk, pemantauan pembinaan, jaminan kualiti, keselamatan, dan pengurusan kos.
Pasukan itu turut mengurus pemerolehan bas diesel dan kenderaan elektrik (EV) merangkumi semakan reka bentuk, ujian, pemeriksaan, penyediaan tapak, dan pentauliahan.
Kontrak perundingan itu bermula pada Mei 2025 bagi tempoh 42 bulan.- DagangNews.com








