HSS Engineers catat untung bersih sebanyak RM25.2 juta, naik 23% disokong oleh perkembangan kumpulan di pasaran antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS Engineers catat untung bersih sebanyak RM25.2 juta, naik 23% disokong oleh perkembangan kumpulan di pasaran antarabangsa

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Untung bersih HSS Engineers Bhd melonjak 23% kepada RM25.2 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) disokong oleh perkembangan  kumpulan di pasaran antarabangsa dan penglibatan aktif dalam sektor lain.  


Perunding kejuruteraan dan pengurusan projek itu juga mencatat hasil sebanyak RM201.5 juta, naik 7.5% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. 

 

Katanya, hasil ada suku tersebut didorong oleh pelbagai projek infrastruktur di Malaysia dan luar negara. 


"Pendapatan segmen pengurusan projek mengambil bahagian terbesar daripada hasil kumpulan iaitu RM98.2 juta pada FY24, mewakili kenaikan 21% daripada RM81.1 juta pada FY23. 

 

“Sementara itu, pendapatan segmen reka bentuk kejuruteraan meningkat 9.2% kepada RM40.8 juta pada tahun ini dibantu oleh sumbangan daripada projek pembangunan semula Lapangan Terbang Subang dan projek pemindahan air di Jeniang, Kedah.

 

Bagaimanapun, hasil daripada segmen penyeliaan pembinaan susut 10.3% kepada RM50.5 juta pada FY24 daripada RM56.3 juta pada tahun sebelumnya berikutan penurunan hasil daripada skim bekalan air Langat II di Selangor selaras dengan kemajuan projek.

 


Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Kuna Sittampalam berkata,  FY24 mewakili tahun yang penting bagi kumpulan itu. 

 

"Pada suku yang sama, buku pesanan kumpulan juga mencecah RM2.1 bilion. Ini menunjukkan usaha kami mengejar kecemerlangan dan inovasi dalam bidang kejuruteraan.

 

"Kami telah menerokai dan meningkatkan kehadiaran kami ertumbuhan tinggi seperti pusat data, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan rumusan dron dipacu oleh kecerdasan buatan (AI). 

 

"Ini juga menunjukkan usaha kami untuk memperluaskan  dan mempelbagaikan akiran hasil kumpulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 


Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4Q24), untung bersih kumpulan meningkat 85.6% kepada RM10.7 juta daripada RM5.8 juta pada suku yang sama sebelumnya (4Q23).

 


Buku pesanan kumpulan berjumlah RM2.1 bilion pada 31 Disember 2024 dan akan dibilkan secara progresif dalam tempoh lapan tahun akan datang.

 

Buku pesanan teguh itu termasuk kemenangan kontrak utama yang diperolehi pada FY24 seperti perlembangan Westport 2 Fasa 1, dua projek pusat data baharu di Johor dan kontrak terbesar kumpulan, iaitu Baghdad Metro.

 

Pada masa yang sama, kumpulan juga sedang giat membuat tender untuk projek bernilai RM504 juta merentasi pelbagai sektor dan negara sambil mempelbagaikan portfolionya secara strategik bagi saluran pertumbuhan hasil tambahan.- DagangNews.com