HSBC kekalkan unjuran KDNK Malaysia 4.5% pada 2026 disokong inflasi masih terkawal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSBC kekalkan unjuran KDNK Malaysia 4.5% pada 2026 disokong inflasi masih terkawal

(DARI kiri) Willem Sels dan Desmond Kuang.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 Julai — Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan kukuh meskipun ekonomi global berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik, menurut analisis Perbankan Swasta HSBC.

 

Justeru ia mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada kadar 4.5% bagi 2026, disokong inflasi yang masih terkawal serta kedudukan Malaysia sebagai pengeksport gas asli utama.

 

Ujarnya, pertumbuhan ekonomi berdaya tahan meletakkan negara dalam kedudukan baik memanfaatkan gelombang pelaburan global baharu dipacu kecerdasan buatan (AI), keselamatan tenaga dan pertahanan.

 

Ketua Pegawai Pelaburan Asia, Perbankan Swasta dan Kekayaan Premier HSBC, Desmond Kuang berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.4% pada suku pertama 2026 mencerminkan proses normal.

 

"Perkembangan positif tersebut selepas KDNK negara mencatatkan prestasi luar biasa kukuh pada suku keempat 2025, dan bukannya petanda ekonomi kehilangan momentum," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, inflasi domestik kekal terkawal dengan bantuan subsidi kerajaan, manakala ketegangan di Timur Tengah pula memberi kelebihan kepada Malaysia yang merupakan pengeksport utama gas asli.

 

Pertumbuhan stabil dan prestasi pendapatan korporat kukuh kata Desmond, bakal menyokong pasaran ekuiti tempatan, dengan HSBC mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap dagangan saham Malaysia.

 


Persaingan Geopolitik Beri Cabaran Pertumbuhan Ekonomi 

Sementara itu, dalam Tinjauan Pelaburan Suku Ketiga 2026, Perbankan Swasta HSBC berkata, AI, tenaga dan keselamatan dijangka menjadi pemacu utama gelombang pelaburan strategik global yang seterusnya.

 

"Keadaan ini menyokong pertumbuhan ekonomi dan keuntungan korporat di peringkat dunia, dengan turut menilai peningkatan persaingan geopolitik serta keutamaan terhadap keselamatan negara," tambahnya.

 

Perkembangan berkenaan sekali gus mendorong lebih banyak perbelanjaan kerajaan, sokongan dasar dan pelaburan dalam pembangunan teknologi, tenaga serta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pelaburan Global Perbankan Swasta dan Kekayaan Premier HSBC, Willem Sels berkata, walaupun turun naik pasaran dijangka berterusan, pelabur perlu mengekalkan portfolio.

 

Mereka jelas beliau, disarankan agar terus mempertahankan pegangan yang pelbagai dan berdaya tahan bagi mengharungi ketidaktentuan semasa sambil meraih banyak peluang pertumbuhan jangka panjang.

 

"Sehubungan itu, HSBC mengenal pasti empat keutamaan pelaburan bagi 3Q26 iaitu pelabur memanfaatkan pertumbuhan AI khususnya dalam sektor semikonduktor, pusat data (DC) dan aplikasi AI," katanya.

 

Usaha berkenaan tambah Sels, berpotensi memperkukuhkan pelaburan dalam keselamatan tenaga, membina portfolio pelbagai aset serta membolehkan pelabur merebut peluang inovasi dan pendapatan.

 

HSBC turut menjangka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah tahun ini, yang menyediakan persekitaran stabil kepada pasaran kewangan global dan mengimbangi risiko inflasi.

 

Landskap geopolitik menjadikan pemilihan sektor, syarikat dan pasaran yang tepat semakin penting, dengan Malaysia berpeluang mendapat manfaat daripada peralihan pelaburan global. - DagangNews.com