KUALA LUMPUR 6 Feb - Pengendali hospital swasta sentiasa mencari cara untuk menguruskan kenaikan inflasi perubatan di negara ini, kata Khazanah Nasional Bhd yang juga pemegang saham terbesar dalam kumpulan penjagaan kesihatan, IHH Healthcare Bhd.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, hospital swasta sedang meneroka pelbagai pendekatan, termasuk menawarkan pilihan rawatan alternatif, untuk membantu mengurangkan kos.
Katanya, hospital swasta juga berkerjasama dengan syarikat insurans perubatan untuk mencari rumusan pengurusan kos yang lebih berkesan.
"Inflasi perubatan bukan fenomena yang hanya berlaku di Malaysia, ia adalah fenomena global.
"Untuk kes Malaysia, sistem penjagaan kesihatan awam agak terhad, jadi kita memerlukan pilihan untuk kapasiti yang lebih besar," katanya selepas Taklimat Media Khazanah Annual Review 2025 semalam, seperti laporan The Edge.
Amirul Feisal berkata, bagi sistem penjagaan kesihatan swasta, syarikat insurans telah memberi respons dengan memperkenalkan polisi yang mengehadkan premium untuk membantu orang ramai dalam sistem penjagaan kesihatan swasta.
Katanya, hospital swasta juga ingin mencari cara untuk membantu, contohnya dengan menggunakan lebih banyak ubat generik berbanding ubat inovatif atau menyediakan lebih banyak pilihan rawatan seperti menggunakan anestetik tempatan berbanding anestetik umum.
"Selain itu, hospital swasta turut berbincang dengan syarikat insurans tentang cara hospital boleh membantu mengatasi kos dengan lebih baik," jelasnya.
Mengenai kesan yang dijangkakan terhadap IHH daripada usaha berterusan kerajaan untuk mengawal inflasi perubatan, beliau berkata, ia seharusnya boleh diuruskan.
"Punca hasil IHH agak pelbagai, dengan kira-kira 20% datang dari Malaysia dan tidak semuanya berkaitan pesakit yang dilindungi oleh insurans," katanya.
IHH, yang dimiliki oleh Khazanah melalui pegangan tidak langsung sebanyak 25.73%, mengendalikan beberapa jenama hospital di Malaysia termasuk Pantai, Gleneagles dan Prince Court, di samping operasi di Singapura, Turkiye, India dan China.
Dalam sembilan bulan berakhir 31 Disember 2024 (9MFY2024), keuntungan bersih kumpulan penjagaan kesihatan itu menurun sebanyak 13.44% kepada RM1.93 bilion daripada RM2.22 bilion, walaupun hasil meningkat 13.1% dalam tempoh yang sama kepada RM17.69 bilion, berbanding RM15.64 bilion.
Penurunan itu berlaku akibat ketiadaan keuntungan daripada penjualan, termasuk daripada IMU Health (RM873 juta) dan Hospital Gleneagles Chengdu (RM116 juta), seperti yang ditunjukkan dalam penyata kewangan 9MFY2024 IHH.
Kumpulan juga mencatatkan kenaikan dua angka peratusan dalam kos berkaitan inventori dan bahan habis pakai serta kos kakitangan.
Berikutan kebimbangan terhadap inflasi perubatan di Malaysia yang meningkat 15% tahun ke tahun pada 2024, lebih tinggi daripada purata Asia Pasifik iaitu 10%, Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengawal selia syarikat insurans, telah mengumumkan langkah sementara pada Disember lalu.
Langkah tersebut termasuk kenaikan premium sepanjang sekurang-kurangnya tiga tahun dan menghentikan sementara penyesuaian premium untuk individu berumur 60 tahun ke atas.
Bagi individu yang polisi mereka luput tempoh pada 2024 disebabkan oleh semakan premium terdahulu, pengaktifan semula polisi dibenarkan tanpa perlu melalui proses penilaian risiko berulang. - DagangNews.com








