Hospital swasta akan dikeluarkan daripada senarai panel insurans kerana enggan memberi diskaun kepada pesakit - APHM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hospital swasta akan dikeluarkan daripada senarai panel insurans kerana enggan memberi diskaun kepada pesakit - APHM

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Feb - Beberapa hospital swasta di negara ini, berisiko disingkirkan daripada senarai panel insurans disebabkan keengganan mereka memenuhi permintaan penanggung insurans supaya memberi diskaun tinggi ke atas bil pesakit.

 

Persatuan Hospital-Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata, pesakit juga perlu menyemak dengan penyedia insurans masing-masing, memandangkan hospital yang disingkirkan daripada panel insurans tidak lagi dapat menawarkan kemudahan tanpa tunai atau menerima surat jaminan.

 

 

Walaupun pesakit masih boleh mendapatkan rawatan di hospital-hospital tersebut, mereka perlu membayar terlebih dahulu dan menuntut bayaran balik daripada syarikat insurans.

 

"Ada antara hospital yang juga ahli APHM sudah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengawal kos, terutamanya selepas pandemik COVID-19.

 

"Mereka memberikan diskaun yang munasabah kepada syarikat insurans, namun diskaun yang terlalu tinggi tidak dapat diberi kerana ia akan menjejaskan kualiti rawatan yang diterima pesakit," kata APHM dalam satu kenyataan.

 

APHM juga memaklumkan, hospital-hospital ahli mereka telah melaburkan keuntungan tahunan dalam teknologi dan kemudahan terkini untuk meningkatkan keberkesanan rawatan.

 

Persatuan itu turut memberitahu, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Akaun Awam bagi mencari penyelesaian yang lebih telus dan komited untuk bekerjasama bagi menangani isu inflasi perubatan yang semakin meningkat. - DagangNews.com