KUALA LUMPUR 28 Nov - Hospital Picaso dilancarkan secara rasmi hari ini, menandakan komitmennya sebagai pusat pembedahan termaju dan pusat kecemerlangan onkologi bersepadu di Malaysia.
Walaupun hospital tersebut telah mula menerima pesakit sejak Jun 2024, majlis hari ini menjadi pengenalan rasmi kepada masyarakat dan komuniti perubatan. Pelancaran disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Pengarah Perubatan, Dato’ Dr Luqman Mazlan, yang mengiringi keberangkatan Tuanku Muhriz dalam sesi lawatan tersebut, berkata Hospital Picaso menyasarkan kedudukan sebagai rujukan utama dalam pembedahan moden dan rawatan kanser.
Hospital ini menempatkan beberapa pusat rawatan khusus merangkumi Pusat Urologi, Pusat Kesihatan Wanita, Pusat Payudara, Pusat Gastrointestinal dan Hati serta Pusat Kanser.
“Setiap pusat diterajui pakar perunding kanan dengan pengalaman luas dalam bidang masing-masing. Mereka bekerja secara merentasi disiplin untuk menghasilkan pelan rawatan yang tersusun, peribadi dan berterusan,” katanya.
Pendekatan ini diyakini mampu meningkatkan hasil rawatan terutamanya untuk pesakit kanser, endometriosis serta mereka yang mempunyai keadaan kesihatan kompleks.

Pengerusi Amalan Klinikal merangkap Ahli Lembaga Pengarah Hospital Picaso, Dato’ Dr Loh Chit Sin, turut memperincikan barisan teknologi pembedahan canggih yang disediakan.
Antara kemudahan utama termasuk KOELIS untuk prosedur prostat berasaskan panduan ketepatan, sistem robotik Da Vinci Xi bagi pembedahan invasif minimum, serta NanoKnife System yang menggunakan teknologi ablasi bukan haba dalam rawatan tumor.
Beliau menegaskan matlamat hospital untuk menyediakan rawatan bertaraf antarabangsa tanpa keperluan pesakit ke luar negara.
Majlis pelancaran ini turut menyaksikan upacara simbolik pemotongan reben oleh Tuanku Muhriz menggunakan sistem robotik Da Vinci Xi, robot yang sama digunakan oleh pakar bedah hospital tersebut. Aksi itu menjadi simbol integrasi antara teknologi perubatan termaju dan kepakaran manusia, yang menjadi tunjang falsafah operasi Hospital Picaso.
Dr Loh berkata hospital bukan sahaja berperanan sebagai pusat rawatan, tetapi juga sebagai institusi latihan dan pembangunan ilmu.
“Kami menumpukan usaha kepada pembinaan kapasiti, latihan dan perkongsian ilmu bagi melahirkan generasi pakar yang mampu memacu Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembedahan invasif minimum dan pembedahan robotik,” jelasnya.
Sejak memulakan operasi pada 19 Jun 2024, Hospital Picaso telah mencatat beberapa pencapaian nasional termasuk jumlah pembedahan robotik tertinggi di Malaysia dalam tahun pertamanya, pelaksanaan prosedur NanoKnife pertama negara bagi kanser prostat, serta pembedahan robotik tanpa parut VNOTES pertama untuk rawatan kanser endometrium.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran; Pengarah Urusan dan CEO Asia OneHealthcare, Dr Chan Boon Kheng; Pengarah Eksekutif Asia OneHealthcare, Anwar Anis; Pengarah Eksekutif Kumpulan Quill, Dato’ Ar. Michael Ong Leng Chun; serta Pengarah Urusan Kumpulan Quill, Dato’ Dr Jennifer Low Moi Ing. - DagangNews.com








