Hospital Aurelius Negeri Sembilan raih pengiktirafan JCI, kukuhkan reputasi penjagaan kesihatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hospital Aurelius Negeri Sembilan raih pengiktirafan JCI, kukuhkan reputasi penjagaan kesihatan

Gambar/Hospital Aurelius Negeri Sembilan
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Mac - Hospital Aurelius Negeri Sembilan (AHNS) muncul kemudahan pertama dalam rangkaian Aurelius Healthcare yang berjaya meraih pengiktirafan Joint Commission International (JCI), sebuah badan pengiktirafan global dalam penjagaan pesakit dan pengurusan hospital.

 

Pencapaian berprestij itu, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi di Negeri Sembilan dan kawasan sekitarnya.

 

Pengiktirafan tersebut yang diperoleh dalam tempoh kurang empat tahun sejak penubuhannya, mencerminkan komitmen Aurelius Healthcare mengekalkan piawaian antarabangsa dalam penjagaan pesakit. 

 

Ia mengesahkan AHNS memenuhi piawaian ketat penjagaan kesihatan global, dengan penekanan kepada keselamatan pesakit, tadbir urus klinikal, serta penambahbaikan berterusan.

 


Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Dato’ Amir Firdaus Abdullah berkata, kejayaan luar biasa itu merupakan penanda aras dalam industri penjagaan kesihatan, di mana ia mencerminkan dedikasi syarikat terhadap keselamatan, kualiti dan perkhidmatan bertaraf dunia. 

 

"Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih seluruh pasukan kami yang bekerja tanpa mengenal lelah demi memastikan pesakit menerima penjagaan terbaik," katanya dalam satu kenyataan.

 

aurelius

 

Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan Navis Capital Partners, Dato’ Sri Nicholas Bloy pula berkata, sebagai rakan kongsi Aurelius Healthcare, pelaburan yang dikeluarkan syarikatnya berbaloi apabila AHNS diiktiraf menepati piawaian penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

 

"Kejayaan AHNS mencerminkan komitmen kami terhadap keselamatan pesakit, kemajuan teknologi dan kecemerlangan klinikal. 

 

"Kami akan terus menyokong pertumbuhan hospital ini bagi memastikan lebih ramai pesakit mendapat manfaat daripada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi," jelasnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AHNS, Joanna Tighe pula menyifatkan, pengiktirafan JCI bukan sekadar satu kejayaan, tetapi juga tanggungjawab besar yang perlu dipikul.

 

"Pengiktirafan ini mengukuhkan tekad kami untuk terus mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan kesihatan, keselamatan pesakit dan inovasi berterusan. 

 

"Kami telah melabur dalam teknologi canggih, memperluaskan perkhidmatan, serta membina pasukan profesional yang dedikasi untuk mencapai kecemerlangan klinikal," ujarnya.

 

AHNS membangunkan sistem pengurusan kualiti dengan piawaian JCI, ISO dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) yang bersepadu, sekali gus memperkukuh fokus terhadap penjagaan kesihatan yang optimum.

 

Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan, AHNS terus memperluaskan perkhidmatan perubatan dengan memperkenalkan Perubatan Penerbangan, Nefrologi, Rawatan Pergigian, serta Pembedahan Tulang Belakang Endoskopik Invasif Minimum. 

 

Hospital berkenaan juga memperkukuh Jabatan Ortopedik dan Onkologi serta merancang untuk menyepadukan teknologi robotik dalam prosedur pembedahan, sekali gus meningkatkan ketepatan dan keberkesanan rawatan pesakit.

 

Bagi memperkemaskan operasi dan meningkatkan ketepatan diagnostik, AHNS juga telah melaksanakan Sistem Maklumat Kesihatan (HIS), Sistem Arkib dan Komunikasi Gambar (PACS), serta Sistem Maklumat Makmal (LIS). 

 

Di samping itu, penambahan blok hospital baharu dengan kemudahan teknologi aras tinggi dijangka meningkatkan lagi pengalaman pesakit.

 

Dengan pengiktirafan JCI tersebut, AHNS mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penjagaan kesihatan utama yang terus berkembang untuk memenuhi keperluan pesakit melalui inovasi perubatan dan kecemerlangan perkhidmatan. 

 

Aurelius Healthcare turut komited untuk memperluaskan pencapaian sama ke seluruh rangkaiannya, dengan Aurelius Hospital Alor Setar dan Aurelius Hospital Pahang dalam perancangan untuk mendapatkan pengiktirafan JCI, bagi memastikan keseragaman dalam kecemerlangan penjagaan pesakit untuk semua hospital di bawah naungannya. - DagangNews.com