Hock Seng Lee bina projek perbandaran 5.46 hektar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hock Seng Lee bina projek perbandaran 5.46 hektar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

Gambar/Hock Seng Lee Bhd

KUALA LUMPUR 26 Jun - Pemaju hartanah Sarawak, Hock Seng Lee Bhd (HSL), akan membangunkan projek perbandaran baharu seluas 5.46 hektar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

 

Cabang hartanah HSL, Neat Plan, menerusi Pengarahnya, Yu Ji berkata, kerja-kerja tanah bagi projek itu dijangka bermula dalam masa tiga tahun.

 

Menurutnya, sama seperti projek Citadines Langit Kuching, pihaknya akan menemu bual arkitek yang disenarai pendek untuk menilai aspek teknikal dan kesesuaian projek. 

 

"Proses ini dijangka mengambil masa enam hingga sembilan bulan, manakala kelulusan daripada pihak berkuasa mungkin mengambil masa dua tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Seni Bina AIR di Menara HSL, seperti laporan The Edge.

 

Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh HSL dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) pada pertengahan 2024 bagi mencari pelan induk terbaik untuk tapak berkenaan. 

 

Sebanyak 83 penyertaan diterima daripada arkitek seluruh negara, dengan 11 pelan disenarai pendek.

 

Presiden PAM, Adrianta Aziz mengetuai panel tujuh juri termasuk arkitek ternama dan wakil daripada HSL.

 

Tiga pemenang utama adalah MOA Architects Sdn Bhd dengan reka bentuk bumbung hijau berkonsepkan warisan dan landskap semula jadi, Azwan Othman dengan konsep rumah panjang heksagon, serta TR Hamzah & Yeang bersama Aki Media yang mengetengahkan bangunan mesra alam sambil mengekalkan 76% kawasan hijau.

 

HSL merancang untuk membina projek berdasarkan satu daripada rekaan tersebut, bergantung kepada tahap kesesuaian, seperti yang dilakukan pada projek Citadines Langit Kuching yang mula dibina pada April lalu.

 

Menurut Adrianta, pertandingan itu bukan hanya untuk mencari rekaan terbaik, tetapi juga menunjukkan bagaimana seni bina boleh membina komuniti dan membawa perubahan.

 

"Arkitek tempatan kita bukan saja menunjukkan kemampuan dan nilai, tetapi juga jati diri Malaysia. 

 

"Kami harap pertandingan seperti ini dapat diteruskan dan dibuka kepada pelajar seni bina," katanya. - DagangNews.com