KUALA LUMPUR 21 Okt - Syarikat berpangkalan di Singapura, Health Management International Pte Ltd (HMI Medical) akan membangunkan sebuah hospital pakar pintar, iaitu Regency Hospital Kuching, di kawasan perbandaran The NorthBank, pembangunan utama milik pemaju hartanah Ibraco Bhd.
Hospital yang dicadangkan dengan kapasiti 300 katil itu akan menawarkan perkhidmatan pakar dan subpakar yang menyeluruh, disokong oleh sistem hospital pintar berteknologi tinggi, peralatan moden bertaraf dunia serta piawaian klinikal antarabangsa, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HMI Medical, Chin Wei Jia.
Beliau berkata, selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan canggih di rantau ini, hospital berkenaan juga akan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan serta menawarkan latihan silang untuk profesional klinikal, bagi memperkukuh budaya kecemerlangan dalam penjagaan berpusatkan pesakit.
HMI Medical mempunyai lebih 27 tahun pengalaman dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan dengan operasi di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Vietnam. Di Malaysia, syarikat itu mengendalikan dua hospital pakar – Mahkota Medical Centre di Melaka dan Regency Specialist Hospital di Johor.
Pakar bedah kanan dan Pengarah Lembaga Hospital HMI Medical di Malaysia, Dr Richard Chew, yang berasal dari Sarawak serta telah lama berkhidmat bersama HMI Medical, akan mengetuai penubuhan Regency Hospital Kuching dengan sasaran pembukaan pada tahun 2029.
“Inisiatif ini akan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran, sekali gus meletakkan Sarawak dan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan perubatan di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan semasa majlis menandatangani Perjanjian Jualan Saham (SSA) antara Ibraco dan Kuching Health Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh HMI Medical, bagi penjualan 100% pegangan ekuiti Ibraco dalam NorthBank Specialist Hospital Sdn Bhd (NSHSB) kepada syarikat tersebut dengan nilai tunai RM900,000.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semasa lawatan kerja beliau ke Singapura, bersempena Sarawak Mega Fair 2025 yang berlangsung di Suntec Convention & Exhibition Centre, Khamis lalu.


Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Ibraco berkata penjualan NorthBank Specialist Hospital itu dibuat atas dasar “pembeli dan penjual bersetuju” tanpa sebarang keuntungan atau kerugian material daripada transaksi tersebut.
“NSHSB kini memegang kelulusan pembangunan hospital swasta, namun operasi belum dimulakan sementara menunggu penglibatan pengurusan kesihatan berpengalaman.
“Penjualan kepada kumpulan penjagaan kesihatan yang bereputasi dan berpengalaman membolehkan Ibraco merealisasikan nilai intrinsik kelulusan pembangunan tersebut, sambil memudahkan pengembangan HMI Medical ke Sarawak bagi memperkukuh penyediaan perkhidmatan kesihatan swasta di negeri ini.
“Kerjasama ini juga menyokong agenda nasional untuk memperluas perkhidmatan kesihatan swasta berkualiti serta meningkatkan akses untuk masyarakat,” kata syarikat itu.
Penubuhan hospital swasta dalam perbandaran The NorthBank dijangka akan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti bagi penduduk sekitar dan kawasan berdekatan.
Ia juga dijangka menarik lebih ramai profesional, keluarga dan pesara yang mencari persekitaran hidup lengkap dengan kemudahan moden, sekali gus mengukuhkan daya huni serta daya tarikan jangka panjang perbandaran tersebut.
Selain itu, operasi hospital berkenaan dijangka merangsang aktiviti ekonomi tempatan melalui peluang pekerjaan dan permintaan terhadap perkhidmatan sokongan perubatan serta komersial.
Selepas selesai perjanjian jualan saham dalam tempoh enam bulan, NSHSB akan memperoleh tanah pegangan pajak seluas 1.7 hektar bagi pembinaan hospital itu daripada Ibraco.
Pengarah Urusan Kumpulan Ibraco, Datuk Chew Chiaw Han, berkata syarikatnya berbangga dapat menyumbang kepada peluasan sektor penjagaan kesihatan Sarawak yang menjadi sebahagian daripada kemajuan sosial dan ekonomi negeri itu.
“Regency Hospital Kuching bukan sekadar sebuah fasiliti kesihatan, ia mencerminkan visi bersama kami untuk mencipta nilai komuniti yang berkekalan melalui pembangunan perbandaran mampan.
“The NorthBank direka sebagai perbandaran bersepadu dan berdikari yang menggabungkan kediaman, perniagaan, pendidikan serta gaya hidup dalam satu ekosistem,” katanya.
Projek The NorthBank seluas 50 hektar itu terletak bersebelahan projek utama Ibraco, Tabuan Tranquility, di sepanjang Lebuhraya Kuching–Samarahan. - DagangNews.com








