KUALA LUMPUR 4 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) pada paras RM4,000 setiap tan pada 2025 dan RM3,800 bagi satu tan pada 2026.
Katanya, berdasarkan jangkaan, harga MSM akan kekal pada paras tinggi, mungkin sehingga suku pertama 2025 didorong pengeluaran jangka pendek yang lemah.
Firma penyelidikan itu berkata, sehingga kini purata Harga MSM adalah pada paras RM4,704 setiap tan.
"Kami mengekalkan pendirian "neutral" kami terhadap sektor itu, memandangkan kenaikan harga MSM tidak mungkin berterusan selepas suku pertama 2025.
"Untuk pendedahan, pilihan utama kami kini ialah Johor Plantations Group Bhd (JPG) dan Hap Seng Plantations Holdings Bhd (HSP) dan IOI Corporation Bhd," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB Research berkata, pertumbuhan keluaran buah tandan segar (BTS) bercampur-campur pada suku tersebut, dengan hanya tiga daripada lapan penanam, iaitu FGV Holdings Bhd, Genting Plantations Bhd, dan HSP mencatatkan pertumbuhan pengeluaran BTS positif sederhana.
Pertumbuhan keluaran yang lemah secara keseluruhan disebabkan hujan berlebihan di Malaysia, walaupun sebahagiannya dikurangkan pemulihan tanaman di Indonesia.
"Walaupun keluaran BTS bercampur-campur, semua penanam di bawah liputan kami mencatatkan pertumbuhan pendapatan huluan yang positif pada suku keempat 2024 (4QFY24), kerana pertumbuhan keluaran bercampur lebih diimbangi oleh harga produk sawit yang direalisasikan lebih tinggi dan kos pengeluaran MSM yang lebih rendah.
"Kelemahan perolehan pada segmen hiliran disebabkan margin penapisan yang lemah dan kos bahan mentah yang tinggi tetapi sebahagiannya dikurangkan prestasi yang lebih baik pada subsegmen oleokimia," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, penanam tetap berharap untuk mencapai pengeluaran BTS yang lebih tinggi pada 2025, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding panduan sebelum ini, disokong peningkatan hasil yang berterusan.
Katanya, kos pengeluaran MSM, sebaliknya, dipandu untuk terus menurun pada 2025, berikutan pengeluaran yang lebih tinggi dan harga baja yang lebih rendah, manakala kesan daripada kenaikan gaji minimum dan caruman KWSP mandatori untuk pekerja asing berkemungkinan boleh diurus.
Bagi segmen hiliran, HLIB Research berkata, prospek lemah dalam subsegmen penapisan, disebabkan perbezaan cukai eksport dan levi antara Malaysia dan Indonesia, akan diimbangi sebahagiannya oleh prospek jangka pendek yang bertambah baik dalam subsegmen oleokimia.
Peningkatan ini didorong oleh jangkaan peningkatan dalam permintaan dan margin menjelang pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah menjelang akhir tahun 2025.- DagangNews.com







