KUALA LUMPUR 28 Mac - Hiperinflasi akibat kejatuhan mata wang Lira di Turkiye dijangka menjejaskan untung bersih hospital Acibadem yang 90% dimiliki IHH Healthcare Bhd, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu bagaimanapun masih berpandangan positif terhadap aliran pendapatan Acibadem yang tidak diniagakan dalam Lira dan pekembangan IHH dalam segmen utama lain seperti di India dan Malaysia.
"Memandangkan kejatuhan mata wang Lira, kami menjangkakan keuntungan kumpulan itu akan terjejas sekali lagi disebabkan susut nilai yang lebih tinggi daripada penilaian semula aset, pendapatan yang lebih lemah daripada kejatuhan nilai mata wang serta penyusutan keuntungan daripada terma sebenar pinjaman.
"Kami tidak dapat mengukur kesan MFRS129 tanpa akses kepada penyata kewangan terperinci Acibadem tetapi menekankan perkara di atas sebahagian besarnya bukan tunai," katanya dalam satu nota kajian.
Keadaan hiperinflasi di Turkiye semakin teruk selepas Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan rasuah yang dia bersama penyokongnya menganggap ia sebagai isu yang dipolitikkan.
Penahanan Imamoglu minggu lalu, saingan politik terbesar Presiden Tayyip Erdogan, mencetuskan demonstrasi antikerajaan terbesar di Turki dalam lebih sedekad dan membawa kepada penahanan besar-besaran, ketika ratusan ribu menyahut seruan pembangkang dan turun ke jalan raya dalam kebanyakan protes aman.
Maybank IB berkata, Acibadem menjalankan pelarasan harga dwi-tahunan untuk mengatasi susut nilai mata wang Lira.
Firma penyelidikan itu memahami, kebanyakan pesakitnya adalah terdiri daripada golongan kaya dan pada masa sama memegang aset dalam dolar Amerika syarikat (AS) dan Euro sebagai pelindung nilai inflasi.
"Sebagai contoh, perbelanjaan penjagaan kesihatan swasta Turkiye sejajar dengan hiperinflasi sejak 2022. Acibadem diperkukuh lagi pelancongan perubatan berdenominasi USD/EUR dan operasinya di Eropah," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM7.97 sesaham. - DagangNews.com








