Hi Mobility sasar kumpul RM115.9 juta daripada IPO Pasaran Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hi Mobility sasar kumpul RM115.9 juta daripada IPO Pasaran Utama

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Mac - Penyedia perkhidmatan bas rentas sempadan, dalam bandar dan antara bandar, Hi Mobility Berhad  yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Mac 2025 menyasarkan untuk mengumpul RM115.9 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).

 

Maybank Investment Bank Berhad adalah penasihat utama, ejen penempatan tunggal dan penjamin tunggal untuk IPO tersebut.

 

IPO melibatkan terbitan awam sebanyak 95.0 juta saham baharu, mewakili 19.0% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesar sebanyak 500.0 juta, pada harga RM1.22 setiap saham. 

 

Sebanyak 60.4% daripada hasil IPO berkenaan akan diperuntukkan untuk pengembangan armada bas termasuk pengambilalihan bas elektrik dan enjin pembakaran dalaman (ICE). 

 

Sejumlah 12.9% lagi diperuntukkan untuk pengembangan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik dengan pemasangan yang dirancang di beberapa depot dan laluan. 

 

Bagi menyokong peningkatan teknologi, lebih kurang 4.4% daripada hasil tersebut diperuntukkan untuk pembelian dan pemasangan perkakasan yang menyepadukan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pemantauan kenderaan dan pengurusan pemandu. 

 

Baki 22.3% lagi akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

 

IPO itu juga merangkumi tawaran jualan 35.0 juta saham sedia ada, yang mewakili 7.0% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesar.

 

Berdasarkan jumlah saham terbitan yang diperbesar dan harga IPO RM1.22 setiap saham, nilai pasaran yang dijangka bagi HI Mobility adalah RM610.0 juta selepas penyenaraian.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hi Mobility, Lim Chern Chuen berkata, syarikatnya berbeza dengan pengendali perkhidmatan bas lain di Malaysia kerana turut menyediakan perkhidmatan bas rentas sempadan Johor Bahru-Singapura. 

 

"Kami berjaya membina kehadiran yang kukuh di pintu sempadan darat yang mungkin paling sibuk di dunia. Malah, segmen perkhidmatan bas rentas sempadan kami sahaja menunjukkan pertumbuhan tahun ini berbanding tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan susulan pelancaran propektus di sini hari ini.

 

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

 

Chern Chuen menambah, syarikat merancang untuk memanfaatkan kecekapan dalam penyediaan perkhidmatan bas rentas sempadan dan tempatan yang disokong oleh armada kenderaan, depot dan kemudahan digital untuk merebut peluang pengembangan dan pertumbuhan perniagaan di Malaysia.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau berkata, keterhubungan dan pengangkutan adalah pemangkin utama pembangunan ekonomi, yang telah disediakan oleh Hi Mobility berdasarkan rekod operasi selama 23 tahun. 

 

"Sejak memulakan operasi pada 2002 di Johor, syarikat ini memberi perkhidmatan kepada penduduk di Singapura, Lembah Klang dan Melaka. 

 

"Ia berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi dan memanfaatkan peningkatan permintaan bagi perjalanan rentas sempadan dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura," jelasnya.

 

Hi Mobility turut mengesahkan tempahan untuk pembelian 55 bas baharu, terdiri daripada 10 bas elektrik dan 45 bas ICE. 

 

Pengembangan armada bas Syarikat dibuat bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan menggantikan bas yang telah uzur. 

 

Syarikat juga merancang untuk mengembangkan armada bas elektrik bagi menggalakkan pengangkutan lestari.

 

Permohonan awam bagi saham IPO dibuka hari ini dan ditutup pada jam 5 petang pada 19 Mac 2025. - DagangNews.com