HI Mobility kaut untung bersih RM56 juta bagi FY26, naik 29% disokong perjalanan rentas sempadan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HI Mobility kaut untung bersih RM56 juta bagi FY26, naik 29% disokong perjalanan rentas sempadan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 MeiHI Mobility Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kira-kira 29% kepada sebanyak RM56.47 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Januari 2026 (FY26).



Prestasi positif itu berbanding RM43.76 juta bagi FY25 dipacu oleh faktor pertumbuhan jumlah penumpang dalam segmen operasi bas berjadual serta peningkatan kekerapan perkhidmatan rentas sempadan.


Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, perkembangan itu selaras pemulihan secara berterusan permintaan untuk perjalanan bas serta aktiviti ekonomi antara Malaysia dan Singapura.


"Hasil turut meningkat sebanyak 13.5% kepada RM317.7 juta daripada RM279.8 juta pada FY25, dengan segmen bas berjadual kekal sebagai penyumbang utama pendapatan meliputi 95.1%," kata HI Mobility.


Jumlah penumpang bagi perkhidmatan bas rentas sempadan mencatatkan kenaikan 10.7% tahun-ke-tahun (YoY), dengan kadar penggunaan meningkat daripada kira-kira 70% pada FY2025 kepada 80% pada FY26.


Justeru, sebagai penghargaan ke atas kepercayaan pelabur, ia mengisytiharkan dividen berjumlah 4 sen sesaham, yang melibatkan jumlah pembayaran keseluruhan mencecah sebanyak RM20 juta bagi FY26.


Dalam pada itu, HI Mobility berkata, kumpulan itu sudah berkembang melampaui operasi bas tempatan apabila mengambil alih Acacia Motor Services Sdn Bhd dan Handal BCM Sdn Bhd pada 8 April 2026.


"Langkah terbaharu berkenaan sebagai usaha jangka panjang syarikat itu bagi memperkukuh rantaian nilai mobiliti secara pintar, termasuk perkhidmatan pemasangan kenderaan elektrik (EV)," jelasnya.


Pengerusinya, Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin menyatakan kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan projek Rapid Transit System (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura.


Projek yang dijangka beroperasi pada akhir 2026 itu, dilihat sebagai pemangkin utama HI Mobility yang akan terus merangsang permintaan berulang bagi perkhidmatan bas pengantara kumpulan itu.


Pihak pengurusan juga komited untuk terus memacu ekosistem mobiliti yang pintar, lancar, dan mampan bagi memberikan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan. - DagangNews.com