KUALA LUMPUR 13 Feb – Hextar Industries Berhad (HIB) terus memperkukuh kehadirannya dalam sektor runcit makanan dan minuman (F&B) menerusi cadangan pengambilalihan 51% pegangan dalam Woodpeckers Group Sdn Bhd dengan nilai RM177.5 juta secara tunai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HIB memaklumkan perjanjian jual beli saham (SPA) telah dimeterai bagi memperoleh 412,122 saham biasa, mewakili 51% pegangan dalam Woodpeckers Group, berdasarkan nilai saksama keseluruhan kumpulan itu sebanyak RM348 juta.
“Pengambilalihan tersebut akan memberikan HIB akses segera ke dalam pasaran pencuci mulut sejuk beku melalui rangkaian kedai di bawah jenama francais llaollao yang kini mempunyai 131 cawangan di seluruh negara.
“Langkah ini menyusuli cadangan HIB untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi mempelbagaikan perniagaan ke dalam runcit F&B, selain melupuskan keseluruhan pegangan ekuiti dalam tiga anak syarikat pembuatan baja milik Kumpulan,” katanya dalam makluman itu.
Woodpeckers Group merupakan pemegang francais induk llaollao di Malaysia dan telah mencatat pertumbuhan hasil yang konsisten, meningkat daripada RM117.81 juta bagi tahun kewangan berakhir 2022 kepada RM150.64 juta pada 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 13.08%.
Pada 2024, kumpulan itu merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM30.3 juta.
Cadangan pengambilalihan itu turut merangkumi jaminan keuntungan purata tahunan sebanyak RM29 juta untuk tempoh tiga tahun.
Selepas pengambilalihan selesai, kumpulan HIB akan menjadi wakil kepada dua jenama francais global utama di Malaysia, iaitu Luckin Coffee dan llaollao.
Pengurusan HIB menjangkakan sinergi operasi dapat diwujudkan melalui kecekapan kos, peluasan capaian pasaran dan pengoptimuman struktur operasi, sambil mengekalkan identiti dan kebebasan setiap jenama.
Pengarah Urusan Kumpulan HIB, Benny Ang, berkata pengambilalihan itu merupakan langkah penting dalam evolusi strategik syarikat.
“Woodpeckers Group mempunyai platform F&B yang kukuh, disokong oleh keupayaan operasi yang terbukti serta pemahaman mendalam terhadap cita rasa pengguna tempatan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Woodpeckers Group, Tan Kai Young berkata kerjasama dengan HIB membuka lembaran baharu kepada kumpulan tersebut untuk mempercepatkan rancangan pertumbuhan, disokong oleh skala dan kekuatan modal yang lebih besar, di samping mengekalkan kesinambungan kepimpinan serta kecemerlangan operasi.
Secara keseluruhan, pengambilalihan ini menandakan satu pencapaian penting dalam transformasi HIB ke arah perniagaan runcit F&B yang berorientasikan pertumbuhan, sekali gus meletakkan kumpulan itu pada kedudukan lebih kukuh untuk memanfaatkan permintaan pengguna yang semakin meningkat melalui platform runcit berjenama dengan asas operasi yang mampan. - DagangNews.com








