KUALA LUMPUR 7 Mei – Hektar REIT bekerjasama dengan Samaiden Group Bhd untuk melaksanakan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di lima pusat beli-belah di bawah kendaliannya menerusi model sifar perbelanjaan modal (zero-capex).
Samaiden akan mengetuai keseluruhan pelaksanaan projek, merangkumi reka bentuk, pemasangan, operasi, dan penyelenggaraan sistem solar berkenaan, manakala Hektar REIT bakal menikmati kadar bekalan tenaga bersih yang tetap.
Melalui inisiatif itu, Hektar REIT dijangka menjimatkan kos tenaga kira-kira RM41.3 juta sepanjang tempoh kerjasama, selain mengelakkan pelepasan karbon sebanyak 98,640 tan.
Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn Bhd, Zainal Iskandar Ismail berkata, perjanjian itu adalah satu langkah strategik yang signifikan dalam perjalanan kelestarian syarikat.
"Dengan pemasangan system solar PV di atas bumbung pusat beli-belah kami, kami bukan sahaja mengurangkan jejak karbon, malah meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan penggunaan elektrik yang dijangka menyumbang kepada penjimatan sehingga 15% tahun ini.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyokong komitmen iklim negara, pada masa sama memberikan pulangan nyata kepada pemegang unit, penyewa, dan komuniti," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Pui Hee berkata, pihaknya berbesar hati untuk berganding bahu dengan Hektar REIT dalam usaha mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.
"Sebagai peneraju dalam sektor tenaga boleh diperbaharui negara, Samaiden komited untuk membangunkan rumusan tenaga solar yang menyokong usaha pengurangan karbon dan memperkukuh daya tahan tenaga.
"Kerjasama dengan pemain industri berwawasan seperti Hektar REIT diharap dapat merancakkan lagi penggunaan tenaga solar dalam sektor komersial dan runcit di Malaysia," katanya.- DagangNews.com








