KUALA LUMPUR 21 Mei – Hektar REIT mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26) disokong oleh peningkatan kadar penghunian, kecekapan operasi serta pengurusan kos yang lebih berdisiplin.
REIT tumpuan sektor runcit itu merekodkan pendapatan bersih direalisasi meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun kepada RM4.65 juta berbanding RM4.16 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan hartanah bersih (NPI) turut meningkat 1.8 peratus kepada RM15.28 juta, manakala jumlah pendapatan kekal stabil pada RM31.02 juta berbanding RM30.93 juta sebelum ini.
Peningkatan prestasi tersebut didorong terutamanya oleh kadar penghunian pusat beli-belah yang lebih baik serta usaha pengoptimuman operasi yang dilaksanakan secara berterusan merentasi portfolio hartanah.
Margin NPI turut mengukuh kepada 49.2 peratus berbanding 48.5 peratus tahun sebelumnya, mencerminkan peningkatan kecekapan kos serta struktur penyewa yang semakin stabil.
Dari segi operasi, kadar penghunian komited meningkat kepada 86.1 peratus, disokong oleh 30 penyewaan baharu dan pembaharuan pajakan yang berjaya dimeterai sepanjang suku tersebut.
Kumpulan itu turut mencatat kadar pengembalian sewa positif sebanyak 3 peratus, dipacu oleh pengukuhan campuran penyewa termasuk kemasukan jenama seperti Pasar Raya Target, Honda dan Lucky Cup.
Dalam usaha memperkukuh kecekapan jangka panjang, Hektar REIT telah melaksanakan sistem solar atas bumbung di lima pusat beli-belah yang kini beroperasi sepenuhnya sejak suku pertama.
Inisiatif tenaga boleh baharu itu dijangka menjana penjimatan kos elektrik kira-kira RM2 juta setahun di samping mengurangkan pendedahan kepada turun naik tarif tenaga serta memperkukuh agenda kelestarian kumpulan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar berkata prestasi suku pertama 2026 mencerminkan daya tahan portfolio serta keberkesanan strategi penyewaan semula dan pengurusan aset yang dilaksanakan oleh pengurusan REIT.
“Peningkatan dalam pendapatan direalisasi dan margin NPI menunjukkan bahawa inisiatif pengoptimuman operasi serta pengurusan penyewa semakin membuahkan hasil, khususnya dalam segmen runcit utama,” katanya.
Tambah beliau, aset pendidikan dalam portfolio turut terus menyumbang aliran pendapatan yang stabil dan berulang, sekali gus mengukuhkan profil defensif keseluruhan kumpulan.
Selain itu, segmen hartanah pendidikan itu dijangka terus menjadi penyumbang stabil kepada pendapatan jangka panjang, disokong oleh struktur pajakan yang berdaya tahan.
Sementara itu, REIT berkenaan turut memaklumkan pengambilalihan petak tanah strategik bersebelahan Kolej Yayasan Saad di Melaka yang dijangka menyumbang kira-kira RM2.2 juta setahun kepada NPI selepas selesai, di samping prospek pendapatan yang lebih stabil melalui struktur pajakan jangka panjang.
Bagi prospek masa hadapan, kumpulan itu kekal berhati-hati namun optimis dengan sokongan permintaan domestik yang stabil, pemulihan berterusan sektor runcit serta peluang pertumbuhan melalui pengambilalihan strategik dan inisiatif peningkatan aset. - DagangNews.com








