KUALA LUMPUR 3 April - Tan Sri Mohd Hassan Marican telah dilantik sebagai pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaras usaha kerajaan menangani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Hassan, yang juga ketua Badan Penasihat Khas kepada Menteri Kewangan, akan bertanggungjawab menilai secara harian tindakan yang perlu diambil selain mengumpul maklum balas berkaitan isu Asia Barat.
“PPPK mempunyai sekretariat yang dipengerusikan oleh penasihat kanan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein.
“Kedua-dua struktur ini akan membantu MTEN, yang kini bermesyuarat setiap minggu, untuk menyelaras maklumat secara harian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dalam membanteras aktiviti penipuan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini pada Jumaat.
Fahmi turut menjelaskan bahawa tugas pasukan yang diketuai Hassan tidak bertindih dengan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang bertanggungjawab meneliti perkembangan ekonomi semasa susulan konflik tersebut.
“Apa yang penting ialah usaha kita memberi tumpuan kepada bekalan, bukan sahaja bahan api dan tenaga untuk memastikan negara kekal stabil dalam beberapa bulan akan datang, tetapi juga bekalan makanan.
“Pada masa sama, memastikan harga barangan terkawal serta aktiviti penyeludupan atau penyelewengan bahan api dan makanan dapat dibendung,” katanya.
Sejak 28 Februari, Israel dan Amerika Syarikat telah melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran, mengakibatkan ribuan korban, menurut pihak berkuasa Iran.
Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta pangkalan tentera Amerika Syarikat di beberapa negara Arab. - BERNAMA








