KUALA LUMPUR 28 Feb - TH Plantations Bhd mencatat prestasi kewangan yang kukuh dalam tahun kewangan 2024 (FY24), dengan merekodkan hasil sebanyak RM877.73 juta, disokong oleh peningkatan jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit , serta harga purata jualan produk minyak sawit yang lebih kukuh.
Anak syarikat perladangan Lembaga Tabung Haji itu melaporkan peningkatan margin sebanyak 60%, sementara pendapatan sesaham (EPS) meningkat dua kali ganda kepada 6.47 sen daripada 3.29 sen, menunjukkan peningkatan keberuntungan yang ketara.
Dalam suku keempat FY24 (4QFY24), THP mencatat pendapatan lebih RM270 juta, peningkatan sebanyak 24.9% daripada RM216.50 juta dalam tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya.
Prestasi kukuh dalam suku keempat ini disebabkan oleh harga jualan yang lebih tinggi MSM, isirong sawit dan buah tandan segar (BTS).
Pengerusi THP, Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din, berkata, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen keseluruhan sebanyak 3 sen sesaham, iaitu peningkatan sebanyak 50% berbanding tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan komitmen kami dalam memberikan nilai kepada pemegang saham.
“Keputusan kewangan cemerlang THP bagi FY24 mencerminkan keberkesanan operasi kami, yang selari dengan pelan strategik perniagaan THP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keputusan FY24 mencerminkan kejayaan tahun pertama pelaksanaan Al-Falah 22/22, iaitu Pelan Strategik Perniagaan 5 Tahun THP (2024 - 2028).
“Pencapaian ini mengukuhkan hala tuju pertumbuhan jangka panjang THP, didorong oleh penambahbaikan operasi yang berterusan serta pengurusan kos yang berdisiplin.
“Sebagai perancangan masa depan, kami akan terus memberi tumpuan terhadap pemantapan kecekapan operasi, menangani cabaran pasaran dan mencipta nilai jangka panjang, dalam semangat Ukhwah (usaha kerjasama) ke arah komitmen bersama, menuju kecemerlangan,” katanya.- DagangNews.com








