KUALA LUMPUR 28 Feb - Sedania Innovator Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 45% kepada RM21.8 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25) berbanding RM14.9 juta didorong perkembangan pasaran domestik dan antarabangsa.
Kumpulan itu berkata, peningkatan itu juga didorong pertumbuhan positif untuk produk barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) premium dan penerimaan lebih luas terhadap rumusan digital patuh syariah.
Katanya, Sedania terus mengembangkan pasarannya secara strategik khususnya di pasaran utama di Eropah dan Asia, sekali gus mengukuhkan asas hasil serta kehadiran di peringkat global.
Pengarah Urusan dan Pengasas Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata, keputusan itu merupakan bukti kepada strategi pertumbuhan agresif kumpulan dalam meningkatkan hasil melalui pelaburan strategik dalam pemasaran, pengembangan antarabangsa, dan kecekapan operasi.
Katanya, inisiatif itu bertujuan mengukuhkan kesetiaan jenama, mempercepatkan penembusan pasaran, dan mengukuhkan kedudukan sebagai jenama dipercayai dalam industri FMCG.
"Selain mengembangkan pasaran, kami juga terus mengoptimumkan kecekapan bagi memastikan keuntungan jangka panjang dan penciptaan nilai untuk pemegang saham.
"Dengan fokus kepada inovasi produk dan pengembangan pasaran, Sedania berada pada landasan yang kukuh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan bagi baki tahun kewangan 2025," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Sedania berjaya mencapai penyelesaian penuh dan terakhir di luar mahkamah bagi kes timbang tara yang melibatkan Offspring Inc. dan Sedania Corporation Sdn Bhd, memastikan resolusi menyeluruh dengan semua pihak berkaitan.
Dengan penyelesaian ini, semua pihak terlibat telah bersetuju untuk menamatkan semua tuntutan, tindakan undang-undang, dan prosiding yang sedia ada atau akan datang berkaitan dengan kes tersebut.
Perjanjian itu juga membebaskan Sedania sepenuhnya dari sebarang liabiliti semasa atau tersirat, membolehkan kumpulan bergerak ke hadapan tanpa sebarang gangguan selepas ini.
Pengerusi Sedania, Tun Md Raus Sharif, berkata, pihaknya gembira dapat mencapai penyelesaian penuh dalam kes timbang tara Offspring Inc.
"Dengan penyelesaian menyeluruh ini, kami kini memegang hak jenama Offspring secara mutlak dan global, lalu mengukuhkan penentuan pertumbuhan serta halatuju masa depan jenama.
“Pencapaian penting ini membolehkan kami menumpukan sepenuhnya kepada penciptaan nilai, pengembangan pasaran, dan inovasi produk. Dengan perkembangan ini, kami akan melaksanakan strategi pertumbuhan dengan penuh keyakinan bagi 2025 dan tahun-tahun yang berikutnya," katanya. - DagangNews.com








