KUALA LUMPUR 24 Feb - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menganggarkan prospek kewangan Petronas Gas Bhd (PTG) kekal stabil walaupun hasil kumpulan dijangka terkesan oleh tarif eksport pada 2026 dan kos penyelenggaraan berterusan.
Walaubagaimanapun firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mampu mengimbangi risiko tersebut dengan mengembangkan segmen perniagaannya dan pengeluarannya daripada dua projek loji janakuasa baharu di Sabah (100MW) dan Labuan (120MW), yang boleh meningkatkan pendapatan masa hadapan.
Terdahulunya, pada 4Q24, PTG melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM445 juta, yang menjadikan untung bersih FY24 berjumlah MYR1.84 bilion, hampir tidak berubah dari tahun lepas.
Walaupun hasil kekal stabil merentas segmen pemprosesan, pengangkutan dan pengegasan semula, hasil utiliti menurun sebanyak 7% suku ke suku (QoQ) disebabkan oleh jualan wap dan gas yang lebih rendah.
ARTIKEL BERKAITAN: Petronas Gas catat untung kukuh selepas cukai RM1.92 bilion, isytihar dividen kekal 22 sen
Faktor utama di sebalik pendapatan yang lebih lemah ialah kos penyelenggaraan yang lebih tinggi, yang dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini.
Ini menyumbang kepada pendapatan yang lebih rendah merentasi semua segmen walaupun hasil stabil.
Disebalik cabaran yang dihadapai oleh PTG, Maybank IB berkata, kumpulan itu sedang mencari peluang pertumbuhan.
"Projek loji janakuasa yang diperoleh PTG baru-baru ini di Sabah dan Labuan mewakili usaha kumpulan untuk mempelbagaikan pendapatannya.
"Berdasarkan prestasi kewangan PTG pada suku lalu, kami menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM17.50 daripada RM18 sesaham dengan mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham PTG,"katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Maybank IB berkata, antara cabaran yang boleh menjejaskan saranan PTG termasuk perubahan kawal selia yang berpotensi yang boleh menjejaskan pendapatan dan gangguan tidak dijangka yang boleh menjejaskan operasi. - DagangNews.com








