KUALA LUMPUR 15 Jun — KYM Holdings Berhad mencatatkan penurunan hasil sebanyak 0.8% kepada RM20.048 juta bagi suku pertama berakhir 30 April 2026 berbanding RM20.211 juta pada 1QFY26.
Kemerosotan itu jelas kumpulan tersebut, disebabkan jualan tempatan yang lebih lemah dalam bahagian kotak kadbod, selain penyusutan marginal hasil segmen elektrik dan alat ganti dalam divisyen itu.
Bagaimanapun, kumpulan ini berjaya mencatatkan pemulihan dengan meraih keuntungan bersih sebanyak RM21,000, berbanding kerugian bersih RM171,000 yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.
"Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat mendadak kepada RM181,000 berbanding hanya RM3,000 pada suku sama bagi tahun sebelumnya," jelas KYM dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Prestasi segmen pembuatan mencatatkan PBT sebanyak RM1.142 juta, naik daripada RM0.820 juta pada tahun sebelumnya, dipacu oleh volum jualan lebih tinggi dalam bahagian karung kertas industri.
Peningkatan keuntungan ini ujarnya, disokong oleh tumpuan berterusan terhadap kawalan kos yang ketat, tahap kecekapan pengeluaran dipertingkatkan, dan disiplin komersial secara berterusan.
KYM namun menambah, segmen pelaburan kumpulan tersebut mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM0.961 juta berikutan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dalam tempoh semasa.
"Kami akan terus memberi fokus kepada kecekapan operasi dan pengoptimuman kos untuk mengekalkan margin keuntungan di sebalik risiko luaran," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Darren Lee.
Syarikat itu juga berhasrat memanfaatkan prospek ekonomi positif Malaysia dengan mempelbagaikan pasaran dan pelanggan, serta memperkukuh kerjasama melalui model 'Packaging-as-a-Service' (PaaS).
Pada masa sama jelas beliau, KYM juga melihat ada peluang besar dalam inisiatif transformasi kelestarian pelanggan yang dijangka memacu permintaan terhadap rumusan pembungkusan nilai tambah.
Berdasarkan prestasi itu, Lembaga Pengarah kumpulan berkenaan bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang pembayaran dividen bagi suku kewangan berakhir 30 April 2026. - DagangNews.com








