KUALA LUMPUR 6 Feb - Segmen pejabat KLCCP Stapled Group diramal melonjakkan pendapatan kumpulan pada FY25 didorong oleh pengembalian sewa tinggi oleh penghuni pejabat Menara Berkembar Petronas, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi kewangan KLCCP sejajar degan ujurannya, menonjolkan untung bersih tinggi pada suku keempat 2024 (4Q24) sebanyak RM196.2 juta didorong oleh segmen runcit, hotel dan pejabat.
"Pendapatan daripada segmen pejabat kekal kukuh dengan pajakan bersih tiga kali ganda jangka panjangnya.
"Walaubagaimanapun, kami meramal hasil segmen itu pada FY25 dijangka meningkat disokong oleh pengembalian sewa daripada penghuni pejabat Menara Berkembar Petronas yang tinggi.
"Ramalan kami berdasarkan kadar sewa pejabat Menara Berkembar Petronas yang telah disemak semula pada Oktober 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Terdahulu, KLCCP mengumumkan dividen 17 sen bagi suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24), membawa kepada jumlah dividen tahunan sebanyak 45 sen.
Katanya, kumpulan mencatat hasil RM1.7 bilion pada FY24, mewakili rekod tertinggi sejak penyenaraian kumpulan pada 2023 dan menonjolkan perkembangan sebanyak 5.7%.
"Mewakili segmen runcit, Suria KLCC dan Menara 3 Petronas mencatat hasil lebih tinggi pada suku ini sebanyak RM139.6 juta berbanding dengan tempoh sama tahun lepas iaitu RM137.1 juta.
"Pertumbuhan dalam segmen itu didorong oleh sewa asas lebih tinggi bagi penyewa baharu dansedia ada, dibantu lagi dengan kadar penghuni mencecah 99%.
"Bagi segmen hotel, mewakili Mandarin Oriental, Kuala Lumpur (MOKUL Hotel) menyaksikan peningkatan RM67.9 juta bagi suku tersebut.
Walaubagaimanapun, unjuran hasil KLCCP Stapled Group disemak turun 1.5% dan 1%, masing-masing pada tahun kewangan 2025 (FY25) dan FY26 selepas melaraskan andaian kos dan memperkenalkan pendapatan FY27 sebanyak RM900 juta.
RHB Research mengekalkan saranan "neutral" terhadap saham KLCCP dengan menaikkan harga sasaran (TP) daripada RM8.20 kepada RM8.52 selepas membuat andaian pengembalian sewa jangka panjang bagi segmen pejabat dan runcit.
Antara faktor yang menjejaskan saranan KLCCP termasuk perubahan sentiment pengguna, menyemak turun kadar sewa pejabat dan pengambilalihan baharu. - DagangNews.com








