KUALA LUMPUR 31 Mac — Kelembapan dalam pengisian semula buku tempahan menjadi kebimbangan utama apabila Public Investment Bank menurunkan unjuran pendapatan Kawan Renergy Berhad.
Menurut firma penyelidikan tersebut, ia meramalkan hasil kumpulan itu bagi tempoh FY26 hingga FY28 merosot, susulan risiko ketidaktentuan perolehan dan pelaksanaan projek yang semakin meningkat.
Buku tempahan syarikat berkenaan jelasnya, susut kepada RM86.8 juta setakat 1QFY26 berbanding RM108.2 juta pada suku sebelumnya, berikutan tiada kontrak baharu signifikan sejak Oktober 2025.
"Perkembangan ini dilihat negatif kerana model perniagaan berasaskan projek Kawan Renergy memerlukan aliran kontrak berterusan untuk menyokong keterlihatan pendapatan," kata PublicInvest.
Berdasarkan situasi itu, ia mengurangkan unjuran hasil bagi FY26 hingga FY28 masing-masing 30%, 26% dan 28%, selepas menurunkan andaian pengisian semula buku tempahan sebanyak RM50 juta setahun.
Bagi suku pertama FY26, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM4.4 juta, merosot 25.9% suku ke suku (QoQ) dan 5.6% tahun ke tahun (YoY), dengan terjejas disebabkan tekanan margin.
Situasi itu mengatasi pertumbuhan hasil Kawan Renergy, dengan prestasi ini hanya merangkumi 17.7% dan 16.0% daripada unjuran penuh tahun masing-masing oleh PublicInvest dan konsensus pasaran.

"Kumpulan mencatatkan peningkatan pendapatan kepada RM44.4 juta, naik 4.0% QoQ dan 51.3% YoY, didorong lonjakan segmen loji proses yang naik 176.5% QoQ, menandakan pemulihan aktiviti," katanya.
Segmen peralatan proses industri kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM16.5 juta, stabil QoQ dan meningkat 14.3% YoY, sekali gus menyokong daya tahan asas pendapatan syarikat tersebut.
Sementara itu, segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kogenerasi dicatatkan Kawan Renergy tambah PublicInvest, susut 6.0% QoQ kepada RM22.0 juta, namun mencatat pertumbuhan ketara secara YoY.
Situasi ini, mencerminkan pengiktirafan hasil yang tidak sekata bergantung kepada masa pelaksanaan projek, dan struktur hasil kekal berasaskan projek, menyebabkan turun naik prestasi kewangan.
“Dengan buku tempahan kini di bawah paras RM100 juta, tahap semasa dilihat tidak mencukupi untuk menyokong trajektori pendapatan yang stabil dalam jangka terdekat,” kata firma penyelidikan itu.
Bagaimanapun, PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham Kawan Renergy, dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah iaitu hanya 54 sen berbanding sebanyak 76 sen sebelum ini.
Ia masih melihat potensi jangka panjang syarikat disokong keupayaan kejuruteraan serta pendedahan dalam sektor RE, meskipun berdepan cabaran jangka pendek dari segi aliran kontrak. - DagangNews.com








