KUALA LUMPUR 24 Feb - Syarikat Hartanah Kenyalang Bhd yang berpusat di Sarawak memperoleh kelulusan untuk tawaran awam permulaan (IPO) dan mensasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE menjelang bulan Jun 2025.
Menurut syarikat itu, kelulusan daripada Bursa Malaysia diterima ketika ia menyatakan kesediaan untuk memanfaatkan peluang pembangunan yang luas dalam industri pembinaan Malaysia, terutamanya di Sarawak.
"Kelulusan ini membawa kami selangkah lebih dekat dalam perjalanan IPO kami untuk menjadi entiti yang tersenarai di pasaran awam," kata Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat dalam satu kenyataan.
Berdasarkan draf prospektus IPO pada November 2024, syarikat berhasrat mengumpul dana bagi tujuan pengembangan dan membiayai operasi sedia ada.
Antara perancangan syarikat adalah untuk membeli enam buah jengkaut baharu bagi menggantikan beberapa aset lama dan meningkatkan kapasiti untuk mengambil lebih banyak projek.
Hartanah Kenyalang juga merancang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil IPO untuk membeli perkakasan dan perisian komputer bagi mengembangkan perkhidmatan reka bentuk.
Hartanah Kenyalang terlibat dalam perkhidmatan pembinaan yang menyasarkan bangunan institusi seperti sekolah dan bangunan awam lain, serta kemudahan seperti pembinaan jambatan dan jalan raya.
Antara projek yang sedang dijalankan termasuk pembinaan bangunan Arkib Negeri di Kuching, kemudahan untuk Yayasan International School di Sibu dan Kuching, serta Projek Jambatan Sebauh di Bintulu sebagai kontraktor pengganti.
Rancangan IPO itu dibuat ketika Sarawak dijangka menerima peruntukan RM5.9 bilion untuk pembangunan, serta RM600 juta lagi dalam bentuk geran khas dalam Belanjawan 2025 daripada Kerajaan Persekutuan.
IPO berkenaan melibatkan penerbitan awam sebanyak 120.9 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 77.5 juta saham sedia ada, dengan harga yang akan ditentukan kemudian.
Secara keseluruhan, penyenaraian tersebut menawarkan pelabur sehingga 32% pegangan dalam Hartanah Kenyalang.
Hasil daripada penjualan saham baharu akan digunakan untuk memenuhi modal kerja projek yang semakin meningkat, terutamanya untuk membayar sub-kontraktor dan pembekal.
Sebahagian daripada dana itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, manakala yang selebihnya untuk menampung kos penyenaraian.
Sementara itu, sebarang hasil yang diperoleh daripada penjualan saham sedia ada akan disalurkan sepenuhnya kepada pengasas bersama, Boon Tiat dan abangnya, Boon Kee, yang juga merupakan Timbalan Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Operasi, Tony Cheok, pelabur strategik Peter Chai dan pemegang saham minoriti, Yeo Kwang Min.
Kedua-dua adik-beradik Seah dilatih sebagai jurutera awam.
TA Securities merupakan penasihat utama, penaja, agen penempatan tunggal dan penjamin tunggal untuk IPO berkenaan. - DagangNews.com








