KUALA LUMPUR 17 Mac — Hartanah Kenyalang Bhd mencatatkan penurunan hasil dan keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2026 (1Q26) susulan penyelesaian beberapa projek utama pada tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pembinaan itu melaporkan hasil merosot 46.6% kepada RM23.87 juta pada 1Q26 berbanding RM44.73 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut kumpulan itu, penurunan berkenaan berpunca daripada penyempurnaan beberapa projek termasuk Projek Sekolah Daif: Tambay pada April 2025, Projek Yayasan International School Sibu pada Jun 2025, Projek Jambatan Sungai Padas pada Ogos 2025 serta Projek Sekolah Daif: Tebedu pada September 2025.
Keuntungan bersih pula susut 64.2% kepada RM674,000 berbanding RM1.8 juta sebelum ini, sejajar dengan penurunan hasil selain peningkatan kos kakitangan.
Bagi prospek masa depan, Hartanah Kenyalang berkata, prospek kumpulan kekal menggalakkan disokong oleh pertumbuhan sektor pembinaan di Sarawak serta peningkatan tumpuan negeri itu terhadap pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan perbelanjaan infrastruktur air.
Dalam perkembangan lain, anak syarikat milik penuhnya, Hartanah Construction Sdn Bhd berjaya memperoleh projek reka dan bina pertamanya pada 30 Januari 2026 bagi pembinaan sebuah penjara baharu di Sibu yang mampu menempatkan 1,000 banduan.
“Kami optimis projek reka dan bina sulung ini akan membuka peluang kepada kumpulan untuk memperoleh lebih banyak projek reka dan bina pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, anak syarikat baharu yang dimiliki sebanyak 60%, Hartanah Kenari Sdn Bhd, merancang untuk mengembangkan operasi ke Semenanjung Malaysia dan telah mengemukakan beberapa tender bagi projek berpotensi.
“Melainkan berlaku sebarang keadaan luar jangka serta konflik di Timur Tengah yang terus dipantau oleh kumpulan, lembaga pengarah Hartanah kekal optimis terhadap prospek masa depan kumpulan,” katanya. - DagangNews.com








