KUALA LUMPUR 19 Mac – Kekurangan bekalan timah global dalam tempoh sederhana, yang menyokong harga komoditi itu kekal tinggi memberi kelebihan kepada Malaysia Smelting Corporation Berhad.
Justeru, Public Investment Bank mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) RM2.60, disokong prospek harga timah yang kukuh serta peningkatan kecekapan operasi.
Menurut firma itu, harga timah melonjak paras rekod AS$57,730 (RM227,367) satu tan awal tahun ini sebelum susut kepada AS$46,000 (RM181,184), namun masih tinggi berbanding purata sepanjang 2025.
“Permintaan ini didorong oleh faktor peralihan tenaga dan perkembangan teknologi digital, ditambah dengan inventori global yang ketat, terus menyokong harga timah kukuh,” katanya dalam nota kajian hari ini.
PublicInvest menjangkakan pasaran timah akan memasuki fasa defisit apabila pertumbuhan bekalan global hanya sekitar 3% pada 2026, lebih rendah daripada pertumbuhan permintaan sebanyak 3.5%.
Kata firma penyelidikan itu, kekangan bekalan berpunca daripada cabaran pengeluaran di negara pengeluar utama seperti Indonesia, Myanmar dan Congo, selain kekurangan kapasiti perlombongan.

Dalam perkembangan operasi, Malaysia Smelting dijangka meningkatkan pengeluaran konsentrat timah harian kepada sebanyak 14 tan mulai April 2026 berbanding hanya kira-kira 11 tan sebelum ini.
"Langkah tersebut susulan siapnya kolam sisa baharu, dan peningkatan ini mencerminkan kecekapan operasi serta kadar pemulihan yang lebih tinggi dalam segmen perlombongan,” jelas PublicInvest.
Selain itu, kumpulan tersebut memperkukuh strategi sumber bahan mentah dengan mempelbagaikan stok dari pelbagai rantau serta memaksimumkan pemulihan timah daripada sisa dan bahan perantaraan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan turut berpandangan langkah proaktif ini penting bagi mengurangkan risiko kurang bekalan jangka panjang, terutama ketika deposit matang semakin menyusut.
Secara keseluruhan, PublicInvest optimis terhadap prospek jangka sederhana Malaysia Smelting, disokong harga timah tinggi, permintaan global kukuh serta peningkatan kecekapan operasi. - DagangNews.com








