KUALA LUMPUR 30 April – IOI Corporation Bhd terus menerima sentimen positif daripada RHB Research yang mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran baharu dinaikkan kepada RM5.35 berbanding RM4.85 sebelum ini yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 25 peratus.
Firma penyelidikan itu berkata faktor geopolitik global kekal menjadi pemacu utama kepada pergerakan harga minyak sawit mentah (MSM), selain turut mempengaruhi prospek sektor perladangan secara keseluruhan.
RHB Reseaerch berkata andaian asasnya adalah situasi gencatan senjata di Timur Tengah akan terus kekal tanpa peningkatan konflik besar dengan kebarangkalian sekitar 60 peratus.
“Di bawah senario tersebut, harga minyak mentah Brent dijangka berada pada paras pertengahan AS$80 setong, manakala harga MSM pula dijangka stabil dalam julat RM4,300 hingga RM4,500 satu tan.
“Perbezaan harga antara minyak sawit dan gas oil (POGO spread) kini kembali positif pada sekitar +USD11.70 setong, selepas sebelum ini berada pada paras negatif.
“Perbezaan harga ini masih dianggap kecil, tetapi masih mencukupi untuk menyokong daya tahan industri biodiesel termasuk di Indonesia, yang masih mampu mengekalkan subsidi B50 pada kadar cukai dan levi semasa,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Selain itu, peningkatan penggunaan minyak sawit untuk biodiesel dijangka mengurangkan bekalan minyak sayuran di pasaran global berbanding permintaan, sekali gus menurunkan nisbah stok kepada paras yang lebih rendah daripada kebiasaan sejarah.
Keadaan ini turut menyokong pandangan bahawa harga MSM boleh menjadi lebih stabil berbanding minyak mentah dalam jangka sederhana, walaupun dalam senario geopolitik yang lebih tenang.
RHB turut menekankan faktor cuaca sebagai risiko penting, dengan kebarangkalian fenomena El Nino meningkat kepada 93 peratus bagi tempoh September hingga November 2026.
Selain itu, kebarangkalian El Nino kuat juga dianggarkan mencapai 51 peratus antara November 2026 hingga Januari 2027, yang berpotensi menjejaskan pengeluaran minyak sawit.
Dari segi unjuran harga, RHB telah menaikkan ramalan harga MSM kepada RM4,400 satu tan bagi 2026 daripada RM4,250 sebelum ini, serta RM4,300 bagi 2027 berbanding RM4,100.
Penambahbaikan ini turut mendorong peningkatan anggaran pendapatan IOI Corp bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2028 antara 6.4 peratus hingga 14.5 peratus, disokong oleh harga komoditi yang lebih kukuh dan unjuran pertukaran asing baharu.
Secara keseluruhan, RHB mengekalkan saranan “Beli” ke atas IOI Corp dengan penilaian bahawa saham ini masih menarik berdasarkan model SOP, disokong oleh harga komoditi yang stabil serta penarafan ESG yang baik pada skor 3.1 daripada 4. - DagangNews.com








