KUALA LUMPUR 17 Mac - Harga rumah yang meningkat dengan cepat, selain pulangan sewa yang kukuh antara faktor mendorong hartanah di Johor menjadi pilihan utama pelabur, kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.
Beliau berkata, pelaksanaan beberapa projek besar seperti Forest City SEZ, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan sambungan Sistem Transit Pantas (RTS), terus menyokong pertumbuhan permintaan hartanah di negeri itu.
“Apabila saya melihat pasaran hartanah di seluruh Malaysia, Johor menonjol pada masa ini.
"Harga rumah di negeri ini meningkat 5.3% menurut angka tahunan terkini daripada NAPIC, beberapa kali ganda lebih tinggi daripada purata nasional 0.7% dan lebih tinggi daripada negeri lain. Prestasi sedemikian menarik minat pembeli," katanya.
Beliau menambah gelombang pelaburan pembuatan yang berterusan telah mencetuskan permintaan pembeli dalam pasaran hartanah sekali gus meningkatkan harga secara kekal dalam pasaran tempatan.”
Katanya, Johor juga menerima minat pelabur rentas sempadan daripada Singapura, China, bahagian lain Asia, serta Eropah dan Australia.
Populasi negeri itu dijangka meningkat 12.5% setahun dan dijangka berganda dalam tempoh enam tahun.
"Pulangan sewa kasar di Johor Bahru berada antara 5% hingga 6.5%, manakala kadar faedah pinjaman rumah 30 tahun adalah sekitar 4.5%.
"Ini bermakna, dalam kebanyakan kes, pendapatan sewa lebih tinggi daripada kos pembiayaan, dan penyewa anda secara efektif membayar pinjaman anda," katanya.
Beliau menambah, harga hartanah juga sedang meningkat dengan kadar semasa, hartanah bernilai RM400,000 hari ini mungkin bernilai lebih RM530,000 dalam lima tahun.
Ini katanya memberi pulangan yang signifikan daripada deposit yang relatif kecil.
Menurut Ansari, jenis hartanah yang paling cemerlang adalah rumah bertanah bernilai antara RM400,000 hingga RM700,000, terutamanya di koridor pembangunan berdekatan infrastruktur baharu dan sempadan Singapura.
"Rumah teres dua hingga tiga tingkat adalah jenis hartanah paling banyak diperdagangkan," katanya.
Antara kawasan yang mendapat minat pelabur paling tinggi termasuk Iskandar Puteri, Tebrau, dan koridor RTS, yang menawarkan permintaan sewa baik daripada profesional dan pekerja rentas sempadan serta potensi kenaikan harga.
Menurut Ansari, ekonomi Malaysia yang berkembang lebih cepat daripada jangkaan, inflasi rendah, dan kadar faedah stabil juga menyokong pertumbuhan itu.
“Ini adalah keadaan ideal untuk pelaburan hartanah. Johor menawarkan kombinasi terbaik antara pulangan sewa dan pertumbuhan pada masa ini. Itu sebabnya saya menamakan Johor sebagai pilihan utama saya untuk 2026," katanya. - DagangNews.com








