KUALA LUMPUR 24 April - Agensi penarafan kredit Moody's Ratings menjangkakan harga minyak global yang tinggi susulan konflik di Timur Tengah akan menyokong peningkatan pendapatan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bagi tahun kewangan 2026.
Dalam laporan terbaharunya, agensi penarafan itu mengekalkan penarafan penerbit dan hutang tanpa cagaran kanan PETRONAS pada A2 dengan prospek stabil, selain mengekalkan penilaian kredit asas (baseline credit assessment) pada a2.
Moody’s berkata, peneguhan penarafan itu mencerminkan profil perniagaan PETRONAS yang kukuh, dasar kewangan berhemat serta keupayaan syarikat mengekalkan kedudukan tunai bersih sepanjang kitaran harga minyak.
“PETRONAS telah menunjukkan disiplin kewangan yang konsisten, sekali gus membolehkannya mengekalkan kecairan yang sangat baik walaupun berdepan turun naik harga komoditi,” katanya.
Agensi itu menganggarkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) PETRONAS akan meningkat kepada antara RM120 bilion hingga RM130 bilion pada 2026, berbanding RM112 bilion pada 2025.
Unjuran itu berdasarkan andaian harga minyak mentah Brent purata sekitar AS$80 setong pada 2026 berbanding kira-kira AS$70 setong tahun sebelumnya.
Menurut Moody’s, segmen huluan dijangka terus menjadi pemacu utama keuntungan kumpulan, disokong oleh harga minyak yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, ia menjangkakan segmen hiliran akan tertekan akibat peningkatan kos perolehan minyak mentah serta gangguan rantaian bekalan yang berpunca daripada konflik geopolitik di Timur Tengah.
“Walaupun kos meningkat memberi kesan kepada operasi hiliran, keuntungan daripada segmen huluan dijangka mengatasi tekanan tersebut, sekali gus menyokong pertumbuhan keseluruhan kumpulan,” katanya.
Moody’s turut menarik perhatian kepada kebergantungan Malaysia terhadap import minyak mentah, dengan kira-kira 50% keperluan penapisan negara diperoleh dari luar, manakala hampir 40% daripadanya melalui Selat Hormuz, antara laluan tenaga paling kritikal di dunia.
Aliran Tunai
Dari segi kedudukan kewangan, PETRONAS dijangka mengekalkan aliran tunai bebas yang secara umumnya neutral dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Sehingga 31 Disember 2025, syarikat itu merekodkan lebihan tunai dan pelaburan jangka pendek sebanyak RM90.4 bilion berbanding jumlah hutangnya, sekali gus mencerminkan tahap kecairan yang disifatkan sebagai “sangat kukuh” oleh Moody’s.
Dalam pada itu, penarafan PETRONAS kekal satu takuk lebih tinggi berbanding penarafan kedaulatan Malaysia pada A3, didorong oleh profil kredit berdiri sendiri yang teguh, sumbangan besar kepada eksport serta akses luas kepada pasaran modal antarabangsa.
Moody’s turut menegaskan bahawa rekod kerajaan Malaysia yang memberi autonomi operasi kepada PETRONAS, walaupun memiliki 100% syarikat tersebut, menyokong penarafan lebih tinggi itu.
Namun, agensi berkenaan memberi amaran mengenai risiko kawal selia dalam industri minyak dan gas tempatan, termasuk ketidaktentuan berkaitan usaha Petroleum Sarawak Bhd (Petros) untuk mengambil alih pengedaran gas di negeri itu.
“Perkara ini masih dalam proses perundangan dan hasilnya belum dapat dipastikan, justeru kami tidak memasukkan sebarang impak dalam unjuran semasa,” katanya.
Moody’s menambah, sebarang langkah dasar kerajaan yang menjejaskan secara material pendapatan atau aliran tunai PETRONAS boleh memberi kesan negatif kepada penarafan kredit syarikat.
Dari segi sensitiviti, penarafan PETRONAS berpotensi diturunkan sekiranya berlaku perubahan dasar yang mengurangkan hak pengeluaran atau rizab, atau jika syarikat melaksanakan pengambilalihan berskala besar yang dibiayai hutang.
Sebaliknya, peningkatan penarafan kepada A1 hanya boleh berlaku sekiranya penarafan kedaulatan Malaysia dinaik taraf kepada A2, di samping PETRONAS mengekalkan metrik kewangan yang lebih kukuh selaras dengan kategori tersebut. - DagangNews.com








