KUALA LUMPUR 19 Mac – Harga minyak sawit mentah (MSM) diramal kekal melebihi paras RM4,450 setiap tan dalam tempoh terdekat, namun konflik di Timur Tengah mungkin mengekang momentum kenaikan.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, peningkatan kos tenaga global serta gangguan logistik di Selat Hormuz menjadi pemacu utama kenaikan harga minyak sayur-sayuran, termasuk kelapa sawit.
Menurutnya, harga MSM meningkat 10% sejak konflik tercetus pada 28 Februari 2026, mengatasi minyak sayuran lain seperti biji sawi atau kanola (+4%), bunga matahari (+3%) dan kacang soya (+1%).
“Bagaimanapun, ketidaktentuan berterusan boleh menyebabkan kelewatan import oleh negara pengguna utama, sekali gus mengehadkan kenaikan harga sawit,” tambah MPOC dalam satu kenyataan hari ini.
Dari sudut bekalan, pengeluaran minyak sawit Malaysia susut 18.5% kepada 1.28 juta tan pada Februari berbanding Januari, disebabkan faktor bermusim termasuk tempoh hari bekerja yang pendek.
Dalam masa sama jelasnya, eksport kekal kukuh dengan jumlah 1.12 juta tan pada bulan lalu, serta menyumbang kepada penyusutan stok domestik walaupun mencatat penurunan bulanan sebanyak 22.5%.

Secara kumulatif kata MPOC, eksport bagi Januari hingga Februari naik 18.7% kepada 2.58 juta tan, didorong oleh permintaan dari India yang mencatat lonjakan import 149% kepada 1.6 juta tan.
"Kelebihan logistik terus memihak kepada Malaysia, dengan tempoh penghantaran ke India hanya tujuh hingga 10 hari, berbanding enam hingga tujuh minggu dari rantau Amerika Selatan," ujarnya lagi.
Selain itu kenaikan harga gasoil global meningkatkan daya saing biodiesel berasaskan sawit, dengan beberapa negara seperti Brazil dan Indonesia merancang bagi peningkatan kadar campuran biodiesel.
Bagaimanapun jelas MPOC, dalam jangka sederhana, harga minyak sayuran berpotensi berdepan tekanan apabila pengeluaran global biji bunga matahari dan kanola dijangka meningkat kepada 149 juta tan.
Tambahnya, sekiranya unjuran tersebut menjadi kenyataan, harga minyak bunga matahari dijangka tertekan, manakala premium harga semasa kemungkinan besar tidak dapat dikekalkan selepas ini.
"Secara keseluruhan, kami meramalkan harga MSM kekal disokong dalam jangka pendek oleh harga tenaga yang tinggi dan jurang minyak sawit-gasoil yang menggalakkan," kata majlis berkenaan.
MPOC namun memberi amaran risiko pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan ketidaktentuan harga kekal menjadi faktor penentu arah pasaran. - DagangNews.com








