Harga minyak sawit mentah diramal pada paras sehingga RM4,600 satu tan disokong mandat biodiesel Indonesia, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diramal pada paras sehingga RM4,600 satu tan disokong mandat biodiesel Indonesia, kata penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Harga minyak sawit mentah diramal berada antara RM4,300 hingga RM4,600 bagi setiap tan disokong sentimen positif daripada mandat biodiesel Indonesia dan potensi kelewatan keputusan dasar tenaga bahan api bio Amerika Syarikat (AS).

 

CGS International berkata, meskipun data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi September 2025 menunjukkan peningkatan stok kepada 2.36 juta tan - melebihi jangkaan pasaran sebanyak 2.16 juta tan - harga MSM dijangka stabil dalam tempoh terdekat berikutan faktor luaran yang menyokong permintaan global.

 

Katanya, pelaksanaan mandat biodiesel B50 oleh kerajaan Indonesia pada 2026 berpotensi meningkatkan penggunaan minyak sawit global kepada 18% daripada keseluruhan penggunaan minyak sayuran dunia, berbanding 14% ketika ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan permintaan biodiesel itu dijangka menjadi pemangkin utama kepada harga MSM di Asia Tenggara.

 

“Sekiranya mandat B50 dilaksanakan sepenuhnya, pengeluaran biodiesel Indonesia boleh meningkat sehingga 25% kepada 19.5 juta kiloliter, berbanding sasaran 15.6 juta kiloliter pada 2025," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kelewatan keputusan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS mengenai mandat bahan api bio baharu akibat halangan sementara kerajaan AS turut memberi sokongan kepada harga minyak sawit.

 

Bagaimanapun, dari segi asas pasaran, paras stok yang tinggi di Malaysia masih memberi tekanan jangka pendek terhadap harga. 

 

Katanya, pengeluaran dijangka memuncak pada Oktober 2025, didorong hasil buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak serta cuaca yang lebih kering berbanding Semenanjung Malaysia.

 

Firma itu mengekalkan pandangan "neutral" terhadap sektor perladangan, namun menjangkakan penjanaan pendapatan kekal kukuh bagi pemain huluan (upstream) yang mendapat manfaat langsung daripada harga MSM  semasa sekitar RM4,400 satu tan.

 

Syarikat-syarikat tersenarai seperti Hap Seng Plantations Berhad, Ta Ann Holdings Berhad dan SD Guthrie Berhad dikenal pasti sebagai penerima manfaat utama dalam senario harga semasa, manakala syarikat besar bersepadu seperti Kuala Lumpur Kepong (KLK) dan IOI Corporation dijangka berdepan ruang kenaikan terhad disebabkan strategi lindung nilai.

 

Katanya, faktor risiko utama kepada harga MSM termasuk pertumbuhan pengeluaran lebih tinggi daripada jangkaan atau peningkatan bekalan minyak sayuran global, manakala ketegangan geopolitik dan dasar tenaga hijau global boleh menjadi pemangkin utama kepada kenaikan harga.- DagangNews.com