Harga kopi semakin mahal, capai rekod tertinggi akibat spekulasi pasaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga kopi semakin mahal, capai rekod tertinggi akibat spekulasi pasaran

Gambar Tina Guina/Unsplash

KUALA LUMPUR 14 Feb - Harga kopi melonjak dengan cepat pada kadar yang belum pernah berlaku sebelumnya, melebihi ramalan pakar dan menimbulkan kebimbangan mengenai spekulasi pasaran.

 

Pada 11 Februari 2025, harga kopi di lokasi penanaman kopi di tengah Vietnam, meningkat kepada RM22.91 sekilogram, bertambah RM0.35 berbanding hari sebelumnya.

 

Di Bursa London, harga kopi Robusta melambung antara RM24,760 dan RM25,306 setiap tan, manakala harga kopi Arabica di Bursa New York melonjak sebanyak RM2,399.04, mencapai RM42,027 setiap tan untuk kontrak Mac 2025.

 

Pengerusi syarikat perdagangan kopi Vietnam Phuc Sinh JSC, Phan Minh Thong menggambarkan lonjakan harga semasa sebagai gila dan memberi amaran momentum kenaikan harga itu mungkin akan berterusan.

 

"Perniagaan terpaksa membeli dan menjual pada harga yang tinggi berbanding dengan kontrak yang telah ditetapkan lebih awal.

 

"Kenaikan harga ini didorong terutamanya oleh kekurangan bekalan biji kopi Arabica dari Brazil yang juga pengeluar kopi terbesar di dunia, ketika musim tuaian negara itu berakhir," katanya seperti laporan portal berita nld.com.vn.

 

Sementara itu, petani kini juga dilapor menyimpan stok kopi mereka kerana menjangka harga akan terus meningkat. 

 

Kekurangan bekalan kopi itu telah menyebabkan harga kopi Robusta kekal tinggi, dengan jurang harga antara kopi jenis Robusta dan Arabica semakin besar, iaitu sebanyak RM16,793.65 setiap tan.

 

Ketidaktentuan pasaran juga menyebabkan petani tidak pasti bilakah waktu terbaik untuk menjual biji kopi mereka. 

 

Dari Oktober 2024 hingga Januari 2025, eksport kopi Vietnam menurun dengan ketara dari segi jumlah, tetapi meningkat dari segi nilai.

 

Pada bulan lalu sahaja, Vietnam mengeksport 137,568 tan kopi, menghasilkan jualan RM3.08 bilion.

 

Ini merupakan penurunan 38.2% dalam jumlah eksport, tetapi peningkatan 8.8% dalam nilai berbanding 2024.

 

Pengarah Global Trade Link Co Ltd, Nguyen Ngoc Luan, kekal optimis tentang prospek harga.

 

Beliau menyebut kebimbangan mengenai kegagalan tanaman dan kemungkinan tarif Amerika Syarikat terhadap barangan Amerika Selatan, yang boleh mengukuhkan kedudukan Vietnam dalam pasaran global.

 

Bagaimanapun, Nguyen Huu Long dari Vietnam Coffee Academy JSC menyuarakan kebimbangan, harga kopi domestik kekal RM2.62 setiap kg lebih rendah berbanding harga di Bursa London.

 

Ini menunjukkan kemungkinan manipulasi harga.

 

Kenaikan harga yang mendadak juga telah menimbulkan kebimbangan mengenai pengeluaran kopi palsu.

 

Pada akhir Januari 2025, pihak berkuasa di Gia Lai menemukan tiga kemudahan di Pleiku yang mencampurkan bahan kimia yang tidak dikenali ke dalam serbuk kopi.

 

Persatuan Pembakar Kopi Brazil mengeluarkan amaran mengenai kopi tercemar yang dibuat daripada sekam, daun dan bahan pengganti kopi lain.

 

Walaupun harga mencapai paras tertinggi, industri kopi Vietnam dijangka tidak menghadapi krisis lebihan bekalan.

 

Ini kerana tanah untuk penanaman kopi tetap terhad.

 

Pakar meramalkan harga yang tinggi akan berterusan sehingga Julai 2025, tetapi memberi amaran kepada petani agar tidak terlibat dalam spekulasi yang berlebihan bagi mengelakkan risiko kewangan. - DagangNews.com