Harga jualan lebih tinggi diramal pacu peningkatan hasil sektor perladangan 12.4% pada 2025 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga jualan lebih tinggi diramal pacu peningkatan hasil sektor perladangan 12.4% pada 2025 - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - RHB Research meramalkan hasil perladangan pada 2025 meningkat sebanyak 12.4% dipacu purata harga jualan (ASP) produk sawit lebih tinggi.

 

Katanya, inventori minyak sawit menyederhana kepada 1.51 juta tan pada Februari 2025 kesan daripada pengeluaran yang lebih rendah walaupun diimbangi penurunan eksport.

 

"Kami menjangkakan inventori minyak sawit kekal ketat dan berada di bawah paras 2 juta tan kerana ketika ini adalah musim pengeluaran rendah.

 

"Bagaimanapun, eksport seharusnya bertambah baik pada musim perayaan yang akan datang," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara kesan menaik termasuk ASP yang lebih tinggi ke atas pendapatan apabila minyak sawit mentah (MSM) melonjak sebanyak 26.3% dari suku tahun ke suku tahun atau 31.6% kepada RM4,840 setiap tan pada suku keempat 2024.

 

Katanya, harga isirung sawit melonjak sebanyak 33% dari suku tahun ke suku tahun dan 75.6% kepada RM3,500 setiap tan pada suku keempat 2024 yang turut membantu mengurangkan kos unit setiap tan metrik.

 

"Kami tidak membuat perubahan kepada ramalan harga iaitu RM4,300 dan RM4,100 untuk 2025 dan 2026," katanya.

 

RHB Research berkata, di Malaysia, jumlah keluaran buah tandan segar (BTS) susut 12% dari suku tahun ke suku tahun atau 7% pada suku keempat 2024, menjadikan keluaran 2024 naik 4.2%.

 

Katanya, purata pengeluaran BTS syarikat di bawah liputan mereka susut purata 2.5% dari suku tahun ke suku tahun atau 5% pada suku keempat 2024, menjadikan keluaran FY24 naik 0.4%.

 

Di Indonesia, kami menyaksikan purata pertumbuhan suku tahun ke suku tahun sebanyak 4.7% tetapi lonjakan kukuh sebanyak 17.6% pada suku keempat 2024 untuk syarikat yang kami lindungi, yang menyebabkan pengeluaran 2024 turun 4.8%.

 

"Pemulihan suku tahun ke suku tahun yang lebih kukuh di Indonesia adalah disebabkan oleh pemulihan selepas impak El Nino, dengan tempoh puncak pada suku keempat 2024.

 

"Untuk 2025, kebanyakan penanam menjangkakan peningkatan sederhana dalam pengeluaran pada cuaca normal dan pertumbuhan satu digit pertengahan hingga tinggi," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" untuk sektor itu. - DagangNews.com