KUALA LUMPUR 3 April – Harga tawaran awam permulaan (IPO) Golden Destinations Group Berhad iaitu 45 sen sesaham berdepan risiko terlebih nilai, tanpa diambil kira kesan ketegangan di Timur Tengah.
Menurut TA Securities, konflik di rantau berkenaan mula menjejaskan industri pelancongan global, dan memberi risiko kepada sebahagian besar agensi pengembaraan tempatan untuk percutian luar negara.
Berdasarkan kepada perkembangan semasa itu, firma penyelidikan tersebut menilai harga wajar syarikat tersebut yang lebih rendah iaitu 42 sen, setelah dinilai pelbagai faktor ketidaktentuan geopolitik terkini.
"Prospek hasil Golden Destinations bagi 2026 dijangka mendatar susulan ramai pelanggan beralih ke destinasi Asia Tenggara yang lazimnya menawarkan kos lebih rendah," katanya dalam analisis hari ini.
Bagaimanapun, TA Securities menjangkakan pemulihan bermula 2027 apabila tempahan dan permintaan kembali pulih daripada pelanggan yang sebelum itu menangguhkan perjalanan mereka pada ketika ini.
Permohonan IPO syarikat berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, sudah dibuka hingga 6 April 2026, dengan sasaran penyenaraian bagi dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia mulai 16 April 2026.

Golden Destinations beroperasi berasaskan model perniagaan-ke-perniagaan (B2B), menyediakan pakej pelancongan dan pelayaran yang diedarkan melalui rangkaian lebih 800 ejen pelancongan berlesen.
"Pada harga IPO, syarikat ini dinilai bersandarkan 16 kali hasil terdahulu, namun kami berpendapat penilaian itu wajar diberi diskaun 10% berbanding purata rakan setara global," kata TA Securities.
Potongan tersebut jelas firma tersebut, turut mengambil kira saiz permodalan pasaran kumpulan berkenaan yang lebih kecil serta ketiadaan perbandingan secara langsung dalam pasaran tempatan.
Dari sudut prestasi Golden Destinations, keuntungan 2025 susut 10% kepada RM28.3 juta disebabkan hasil rendah dan margin terjejas, antaranya berikutan peralihan kepada pakej pelancongan Eropah.
Penurunan jualan ke Asia Timur, selain perbelanjaan pemasaran lebih tinggi termasuk penganjuran acara berskala besar seperti konsert artis turut memberi tekanan kepada keuntungan syarikat.
"Secara keseluruhan, kami melihat saham kumpulan ini pulih dalam jangka sederhana, namun pelabur dinasihatkan berhati-hati terhadap penilaian semasa yang dilihat sedikit mahal," katanya. - DagangNews.com








