KUALA LUMPUR 12 Jan - Harga hartanah Johor melonjak pesat akibat pembangunan Rapid Transit System (RTS) Link dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dengan sesetengah unit kediaman kini melepasi RM1,000 sekaki persegi.
Pakar menegaskan pertumbuhan ini berpotensi menjadi spekulatif, terutama di kawasan yang tidak menerima manfaat langsung daripada projek berkenaan.
Laporan Rahim & Co International Property Consultants menunjukkan Johor mencatat 21,061 transaksi kediaman bernilai RM9.86 bilion dalam separuh pertama 2025, meningkat 12.9% dari segi volum dan 9.3% dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Purata harga transaksi adalah RM467,955, manakala sektor perindustrian merekodkan 732 transaksi bernilai RM3.63 bilion dan subsektor kedai pejabat mencatat nilai RM2.17 bilion walaupun volum menurun.
Di peringkat nasional, jumlah keseluruhan transaksi hartanah Malaysia menurun 2.1% kepada 304,482 unit, manakala nilai meningkat 5.6% kepada RM172.06 bilion, menandakan pasaran negara masih mempunyai asas yang kukuh walaupun beberapa kawasan mencatatkan ketidakseimbangan permintaan dan bekalan.
RTS dan JS-SEZ tarik pelabur, kerajaan digesa jelas insentif
Pengarah Penyelidikan Rahim & Co, Sulaiman Saheh berkata, minat pelabur terhadap Johor meningkat dengan adanya RTS dan JS-SEZ, namun kerajaan perlu lebih proaktif mempromosikan insentif bagi mengekalkan kelebihan daya saing negeri.
Beliau menekankan, pembangunan tidak hanya melibatkan projek fizikal, tetapi juga penambahbaikan tenaga kerja dan polisi mesra pelabur.
Sulaiman menegaskan dasar kerajaan perlu melindungi kepentingan pembeli tempatan dan mengekalkan keseimbangan pasaran.
“Ini bukan hanya isu Johor, tetapi Malaysia secara keseluruhan. Pertumbuhan mesti inklusif,” katanya.
Beliau juga menyorot keperluan insentif cukai kepada rakyat Malaysia pulang dari luar negara untuk menambah tenaga kerja mahir dan menyokong pembangunan jangka panjang. - DagangNews.com








